suria

Wan Ahmad Akui Pernah Sertai Umno Semasa Muda Tapi Tidak Lagi Selepas Dilantik Dalam SPR

PETALING JAYA: Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Wan Ahmad Wan Omar menegaskan bahawa beliau tidak lagi menjadi ahli Umno sebaik sahaja dilantik sebagai setiausaha SPR pada April 1998.

Ini bermakna kata Wan Ahmad, beliau bukan lagi ahli Umno selepas dilantik sebagai timbalan pengerusi SPR pada Disember 2004.

Sehubungan dengan itu beliau menyifatkan tindakan Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Saifuddin Nasution Ismail yang mencabar beliau untuk menafikan dirinya bukan ahli Umno ketika menerajui suruhanjaya itu sebagai serangan berunsur peribadi dan keterlaluan.

"Ia serangan peribadi. Beliau bercerita mengenai perkara 40 tahun lalu. Mungkin dia marah dengan tindakan saya yang menyangkal dakwaan dan fitnah Pakatan Rakyat terhadap SPR selama ini.

"Saya menceritakan perkara yang betul kerana ingin mempertahankan dasar dan prinsip SPR. Saya kena jawab segala tuduhan dan fitnah yang dilemparkan kerana rakyat perlu tahu perkara sebenar," katanya ketika dihubungi mStar Online, Khamis.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan yang disiarkan oleh sebuah media tempatan pada Khamis berhubung keahliannya dalam Umno sebagaimana yang didedahkan oleh Saifuddin Nasution Ismail.

Beliau menambah, semua kakitangan awam faham akan tatacara perkhidmatan awam iaitu mereka tidak dibenarkan memegang jawatan aktif dalam organisasi politik sekiranya menyandang jawatan tinggi dalam kerajaan.

Tanpa berselindung, Wan Ahmad memberitahu memang beliau pernah menjadi ahli Umno ketika berusia awal 30-an.

"Terus-terang saya katakan saya pernah sertai Umno ketika zaman muda dulu. Tapi waktu itu, saya tidak tahu akan dilantik sebagai Timbalan Pengerusi SPR. Itu rezeki saya," katanya.

Tambah beliau, setiap rakyat di negara ini mempunyai hak peribadi dan kebebasan untuk menyertai mana-mana parti politik sama ada Barisan Nasional (BN), PAS, PKR atau DAP.

Bagaimanapun, beliau berkata, dari segi peraturan amnya, kakitangan kerajaan boleh menjadi ahli mana-mana parti politik tetapi tidak boleh memegang jawatan aktif dalam parti.

"Jika mereka didapati melanggar peraturan itu, mereka akan menerima surat tunjuk sebab daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA)," katanya.

Artikel Lain