suria

Suami Isteri Warga Singapura Ditahan Disyaki Dera Tiga Anak Guna Kayu Hoki

JOHOR BAHARU: Polis menahan sepasang suami isteri rakyat Singapura dua hari lepas kerana dipercayai mendera tiga anak mereka di Kampung Melayu, Gelang Patah, di sini.

Ketua Polis Daerah Nusajaya Supt Noor Hashim Mohamad berkata bapa kandung dan ibu tiri berumur 40 dan 39 tahun itu ditahan kira-kira pukul 2 petang di rumah mereka di kampung tersebut selepas polis menerima laporan mengenai jenayah berkenaan pada pukul 11 pagi, hari yang sama.

"Laporan polis dibuat oleh mangsa, seorang pelajar perempuan berumur 14 tahun dengan ditemani guru sekolahnya. Turut dipercayai menjadi mangsa dera itu adalah seorang adik perempuannya yang berumur 12 tahun dan adik lelaki berumur lapan tahun," katanya kepada pemberita, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nusajaya di sini, Khamis.

Noor Hashim berkata mengikut keterangan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Gelang Patah itu, ketiga-tiga mereka menetap di rumah berkenaan bersama ayah kandung dan ibu tiri yang merupakan guru muzik, sejak tahun 2007.

Beliau berkata mereka tidak pernah berhubung dengan ibu kandung sejak berlakunya penceraian ibu bapa mereka, malah mereka sering dipukul dengan kayu hoki dan ditampar sehingga kejadian yang sama berulang pada Ahad dan Selasa lepas.

Katanya kedua-dua beradik perempuan itu turut dibotakkan kepala dan mengalami kesan lebam di beberapa bahagian badan, bagaimanapun, adik lelaki mereka tidak mengalami sebarang kecederaan.

"Polis berjaya merampas sebatang kayu hoki di rumah berkenaan dan pasangan terbabit kini direman sehingga Sabtu ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611). Ketiga-tiga mangsa pula dirujuk kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat," katanya.

Dalam kes lain, Noor Hashim berkata pihaknya berjaya menumpaskan kumpulan pecah rumah di sekitar bandar raya ini selepas menahan lima lelaki di sebuah rumah di Taman Mutiara Rini, di sini semalam.

Beliau berkata kesemua mereka yang berumur 35 hingga 42 tahun itu ditahan kira-kira pukul 1 tengah hari selepas bilik gerakan IPD Nusajaya menerima panggilan telefon daripada orang awam yang memaklumkan berlakunya kejadian pecah rumah di Jalan Bakti 56, perumahan terbabit.

Katanya polis tiba di rumah tersebut lima minit kemudian dan merampas pelbagai barangan serta peralatan pecah rumah daripada suspek termasuk dua kereta curi, 14 telefon bimbit, televisyen plasma, beg tangan, minuman keras dan kuku kambing.

Katanya kesemua lelaki yang dipercayai terlibat dengan sembilan kes pecah rumah sejak tujuh bulan lepas itu kini disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan. - BERNAMA

Artikel Lain