suria

SESB, Polis Sabah Berkas Pencuri Kabel

KOTA KINABALU: Polis dengan kerjasama Polis Bantuan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) menahan seorang lelaki yang sedang memotong saki baki kabel elektrik berhampiran pencawang milik SESB di Telipok, malam Selasa.

Pengarah Urusan SESB, Ir Abdul Razak Sallim, kejadian itu berlaku pukul 11.30 malam, selang sepuluh hari selepas seorang suspek ditangkap di lokasi yang sama.

"Turut dirampas di tempat kejadian ialah beberapa perkakasan yang dipercayai digunakan oleh suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini, Rabu.

Lampu jalan sepanjang jalan Telipok juga tidak dapat beroperasi sepenuhnya selepas beberapa suspek memotong dan mencuri kabel bawah tanah yang membekalkan bekalan elektrik ke panel lampu jalan milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Beliau berkata bulan ini sahaja, lima suspek ditangkap oleh SESB.

Sejak September 2009, 46 kes kecurian aset termasuk kes terbaru dan menangkap 38 suspek, katanya.

Abdul Razak berkata rondaan di lokasi-lokasi yang dikenal pasti menjadi sasaran pencuri kabel akan ditingkatkan.

"SESB percaya kerjasama dengan pihak Polis, Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan Suruhanjaya Tenaga (ST) akan dapat membantu SESB menangani masalah ini," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain