suria

Sambutan Meriah Untuk PM Di Lapangan Terbang Sibu

SIBU: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dalam rangka lawatan tiga hari ke Sarawak, diberi sambutan meriah sebaik tiba di lapangan terbang di sini petang Khamis.

Ketibaan beliau disambut Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud, timbalannya Tan Sri Alfred Jabu, menteri Kabinet negeri dan persekutuan, ketua jabatan-jabatan kerajaan, orang kenamaan setempat dan kira-kira 2,000 rakyat.

Dari lapangan terbang, Perdana Menteri dan rombongan beliau terus ke Hotel Kingwood Hotel di sini untuk menghadiri majlis makan malam komuniti.

Pagi esok, Najib akan melawat Pasar Besar Sibu, dikatakan yang terbesar di negara ini dengan mempunyai 1,100 gerai tetap dan antara 200 hingga 250 "Tamu" atau gerai pribumi yang diusahakan peniaga Iban, Melayu, Melanau dan kaum etnik lain.

Najib dijadual menikmati sarapan pagi "Roti Canai" di sebuah daripada gerai di tingkat satu pasar itu bersama-sama beberapa wakil peniaga sebelum melawat gerai makanan yang menjual menu 1Malaysia di situ.

Ini merupakan lawatan kali ketiga beliau ke pasar itu selepas lawatan pada Februari dan Mei 2010.

Najib kemudiannya akan melawat dan merasmikan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Thai Kwong berharga RM12 juta di Upper Lanang Road dan diikuti dengan menunaikan solat Jumaat di Masjid An Nur dan kemudiannya menyertai jamuan tengah hari di perkarangan masjid itu.

Perdana Menteri kemudiannya akan menaiki pesawat untuk ke Kabong, sebuah kampung di Divisyen Betong untuk sesi bertemu rakyat dan melakukan tinjauan mesra.

Beliau kemudiannya akan kembali ke Kuching untuk menghadiri majlis makan malam yang dianjurkan Taib di kediamannya di Demak Jaya.

Pada Sabtu, Najib akan melakukan tinjauan mesra di Pasar Tani Matang Jaya sebelum menghadiri program "Jelajah Janji Ditepati" di tempat letak kereta di Wisma Bapa Malaysia di Petra Jaya.

Selepas itu, beliau akan melawat hari terbuka Makmal Koridor dan Bandaraya di bangunan Dewan Undangan Negeri dan disusuli dengan majlis perjumpaan dengan pemimpin Barisan Nasional negeri sebelum pulang ke Kuala Lumpur. - BERNAMA

Artikel Lain