suria

Firefly Buka Laluan Kota Baharu - Johor Baharu

KUALA LUMPUR: Firefly, anak syarikat milik penuh Malaysia Airlines, mencatatkan sejarah hari ini dengan menjadi syarikat penerbangan pertama yang menyedia hubungan udara secara terus menghubungkan selatan dan pantai timur Semenanjung Malaysia.

Para penumpang yang menaiki penerbangan pertama syarikat penerbangan komuniti itu pagi ini dari Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra di Kota Baharu telah diberikan sambutan setibanya mereka di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai, Johor Baharu.

Ketua Pegawai Eksekutif Firefly, Ignatius M.C. Ong berkata penerbangan terus, tiga kali seminggu, dengan perjalanan mengambil masa satu jam dan 40 minit, menyediakan keselesaan kepada para pengembara.

"Kami menawarkan penyelesaian terbaik untuk pengembara riadah dan perniagaan yang perlu tiba ke destinasi masing-masing dengan cepat dan selamat," kata beliau dalam satu kenyataan, Khamis.

Selain daripada itu, beliau berkata kemudahan daftar masuk web Firefly juga merupakan daya penarik kepada para pengembara kerana ini membolehkan mereka mendaftar masuk dengan selesa dari rumah ataupun pejabat dan mencetak sendiri pas pelepasan mereka.

"Banyak masa boleh dijimatkan dengan tidak perlu beratur daftar masuk dan ini membolehkan penumpang menghabiskan lebih banyak masa di destinasi mereka," tambah Ong.

Bagi mempromosikan laluan ini dan laluan lain di rangkaian Firefly, syarikat penerbangan itu pada masa ini mengadakan promosi dalam talian untuk tempahan sehingga 6 Mei, 2012 untuk perjalanan dari 7 Mei hingga 30 Jun, 2012.

Syarikat penerbangan itu turut menyertai Pameran Matta di Kota Bharu Mall mulai esok hingga 29 April. - BERNAMA

Artikel Lain