suria

Bayi Ditemui Di Belakang Rumah

GEORGE TOWN: Polis menemui seorang bayi lelaki yang dipercayai baru dilahirkan dan ditinggalkan di belakang sebuah rumah di Taman Permatang Indah, Batu Maung dekat sini awal pagi Khamis.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Ayub Yaakob berkata bayi lelaki yang masih bertali pusat itu ditemui pemilik rumah berkenaan pada pukul 12.30 pagi.

"Lelaki terbabit terdengar bunyi tangisan bayi menangis di belakang rumahnya dan keluar untuk melihat dan mendapati terdapat bayi berselimut kain batik dengan masih bertali pusat," katanya ketika dihubungi di sini, Khamis.

Beliau berkata lelaki itu kemudiannya membawa bayi berkenaan ke Hospital Bersalin Pulau Pinang dan bayi itu kini dirawat di situ.

Katanya bayi berkulit cerah dan seberat 2.3 kilogram itu berada dalam keadaan stabil.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 317 Kanun Keseksaan dan sesiapa yng mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi polis," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain