suria

Tumpahan Bahan Kimia Selepas Tong Jatuh Daripada Lori

JOHOR BAHARU: Kira-kira 1,800 kg bahan kimia dipercayai asid sulfurik tumpah apabila dua tong yang diisi dengan bahan itu terjatuh dari sebuah lori di Km16, Jalan Johor Baharu-Skudai di sini, Rabu.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira 9 pagi semasa lori tersebut dalam perjalanan menuju ke bandaraya ini.

Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Taman Universiti C. Kesavan berkata empat jentera bomba dengan 23 anggota termasuk tiga anggota Pasukan Unit Bahan Bahaya (Hazmat) dikejarkan ke tempat kejadian.

"Tiada kecederaan berlaku dan kita berjaya mengatasi kebocoran bahan itu pada kira-kira 1 tengah hari" katanya kepada pemberita di sini.

Katanya siasatan mendapati pemandu lori tersebut tidak mengikat tong itu menyebabkannya terjatuh.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Johor Baharu Utara ACP Ruslan Hassan berkata polis kini cuba mengesan pemandu lori itu untuk siasatan dan sampel bahan kimia itu turut diambil untuk dianalisis.

Asid sulfurik yang berwarna sedikit kekuningan adalah asid mineral yang menghakis dan banyak digunakan sebagai bahan cecair untuk bateri kenderaan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain