suria

Tiada Pegawai Kementah Akan Hadiri Perbicaraan Kapal Selam Di Perancis

KUALA LUMPUR: Tiada pegawai atau wakil daripada Kementerian Pertahanan Malaysia akan ke Paris untuk menghadiri perbicaraan mahkamah berkaitan kapal selam Scorpene, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Siapa yang akan bayar tiket penerbangan, makanan dan hotel di Perancis," katanya semasa ditanya pemberita mengenai perkara itu selepas menyaksikan majlis pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk membina bangunan asrama berdasarkan konsep harta wakaf, di sini, Selasa.

Beliau berkata kes itu akan dipantau oleh duta dan atase tentera Malaysia di Paris.

Ahmad Zahid berkata beliau tidak akan membenarkan kementerian jatuh dalam perangkap yang dipsang oleh pihak yang mahu mencemarkan imej negara dan maruah Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak. "Kami tidak tertakluk kepada perintah mahkamah Perancis, kecuali sapina dikeluarkan mahkamah Malaysia," katanya. Perbicaraan di Paris itu diusahakan oleh Suaram, badan bukan kerajaan (NGO) anti kerajaan yang mendakwa pembelian kapal selam itu diselubungi skandal dan rasuah.

Pada majlis menandatangani MoU itu, LTAT diwakili pengerusinya Tan Sri Mohd Anwar Mohd Nor manakala UIAM diwakili Rektor Prof Datuk Seri Zaleha Kamaruddin.

MoU itu bagi kerjasama membina satu blok asrama yang dilengkapi kemudahan memasak, yang kemudiannya akan dikenali sebagai Mahallah LTAT untuk pelajar UIAM. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain