suria

PM Saksi Majlis Menandatangani DTAA Malaysia - Hong Kong

PUTRAJAYA: Malaysia dan Kerajaan Hong Kong Wilayah Pentadbiran Khas Republik Rakyat China, pada Rabu, memeterai perjanjian Pengelakan Percukaian Dua Kali dan Pencegahan Pelarian Fiskal bersabit Cukai Pendapatan (DTAA Malaysia-Hong Kong).

Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah memeterai untuk kerajaan Malaysia dan Setiausaha Kewangan Hong Kong John C. Tsang untuk SAR.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Menteri Kewangan, menyaksikan majlis itu.

Kementerian Kewangan berkata ini merupakan DTAA ke-74 yang dimuktamadkan oleh Malaysia dengan rakan dagangnya, termasuk dua perjanjian terhad dengan AS dan Argentina.

"Objektif terutamanya ialah untuk mengelak cukai dua kali melalui peruntukan hak untuk mengenakan cukai di antara kedua-dua tempat, pengurangan kadar cukai pegangan berasaskan timbal balas dan memberikan kepastian mengenai layanan cukai bagi aktiviti ekonomi rentas sempadan," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan hari ini juga akan membolehkan pihak berkuasa cukai Malaysia dan Hong Kong untuk bertukar-tukar maklumat pembayar cukai bagi menghalang pengelakan dan pelarian cukai pendapatan.

DTAA Malaysia-Hong Kong akan berkuatkuasa selepas kedua-dua pihak menyelesaikan prosedur pengesahan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain