suria

Pembangunan Sahsiah Belia Bermula Dari Rumah - Rosmah

KUALA LUMPUR: Pembangunan sahsiah diri bagi golongan belia bermula dari rumah dengan persekitaran keluarga dan keibubapaan yang harmoni, sekaligus membolehkan mereka memiliki nilai-nilai murni.

Isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor berkata pendidikan awal dan penjagaan kanak-kanak mestilah dimulakan di rumah sebelum ia seterusnya mendapat sokongan daripada pihak-pihak lain.

"Ini selanjutnya disokong dan diperkukuhkan oleh sekolah-sekolah, masyarakat, kumpulan agama dan persekitaran yang lebih luas di sekeliling kita. Jika seseorang itu dikelilingi dengan persekitaran yang membenarkan tindakan tidak bermoral berlaku, ini pastinya akan menjejaskan keupayaan individu berkenaan untuk mempunyai nilai-nilai murni dan moral tingkah laku yang baik.

"Kedua-duanya (nilai dan moral) mesti seiring untuk menyerlahkan sahsiah yang baik," kata Rosmah dalam rakaman ucapannya bagi Simposium Pendidikan Penyayang Pada Abad ke-21: Pandangan Wanita yang bertajuk "Memupuk Nilai-Nilai Dalam Kalangan Belia" di sini, Rabu.

Simposium itu dianjurkan Miss Malaysia India Care Association (MMICARE Association) menerusi program 'Gift Her With Life Fund' yang menyokong bantuan mamogram dan dialisis bagi wanita serta pemberian biasiswa bagi pelajar perempuan.

Rosmah berkata sekolah-sekolah dan kolej memainkan peranan penting dalam usaha ini kerana golongan ibu bapa mengharapkan institusi seumpamanya menyediakan pendidikan dan memenuhi keperluan pengetahuan dan kemahiran anak-anak mereka.

"Disiplin, terutamanya disiplin diri, adalah satu bentuk pembangunan sahsiah. Namun, guru-guru sering mengelak dan menghalang diri daripada mendisiplinkan pelajar kerana khuatir tindakan undang-undang daripada ibu bapa.

"Oleh itu, ibu bapa sepatutnya tidak terlalu membela dan melatah apabila tindakan diambil untuk mendisiplinkan anak-anak," kata beliau.

Rosmah berkata para guru dan pensyarah di sekolah dan institusi perlu menerapkan sistem nilai-nilai sejagat yang akan membantu golongan muda untuk menempuh alam dewasa dengan memiliki nilai-nilai murni.

Isteri Perdana Menteri berkata sistem pendidikan hendaklah melangkaui pendekatan pengajaran dan pembelajaran tradisi untuk mencakupi keupayaan penerokaan.

"Pendidikan mestilah tidak hanya menyampaikan pengetahuan tetapi mesti membangunkan kemahiran dan tingkah laku yang diperlukan golongan muda apabila mereka mula mengambil peranan dalam masyarakat. Pendidikan mestilah menyediakan persekitaran yang selamat bagi belia menyuarakan pandangan mereka," katanya.

Rosmah berkata institusi awam dan swasta mempunyai peranan penting bagi menyediakan persekitaran yang dapat memperkukuhkan sahsiah murni dan sistem nilai.

"Apa yang kita lakukan di rumah akan dapat kita lihat dalam masyarakat kita. Usaha membangunkan sahsiah murni dalam kalangan golongan muda dan membina sistem nilai dalam masyarakat adalah tanggungjawab semua orang.

"Kami tidak boleh menutup mata kepada tindakan moral yang salah dalam masyarakat kita. Tanpa mengira usia, kita semua mempunyai tanggungjawab untuk menegur apa yang salah," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain