suria

Jawatankuasa Khas Farmaseutikal Halal Perlu Ditubuhkan Bagi Kembangkan Industri

KUALA LUMPUR: Satu jawatankuasa khas bagi memandu arah dan pelaksanaan farmaseutikal halal perlu ditubuhkan dalam masa terdekat bagi memastikan ubat-ubatan yang digunakan umat Islam di Malaysia terjamin halal, kata seorang profesor di sini Rabu.

Dekan Pusat Pengajian Sains Farmasi, Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Syed Azhar Syed Sulaiman berkata penubuhan jawatankuasa itu penting dalam memastikan industri farmaseutikal di negara ini terbuka dan sentiasa komited menyahut keperluan pengguna yang peka dengan isu halal.

"Jawatankuasa ini jika diwujudkan, perlulah bertindak bersama-sama badan pemantau yang lain seperti Jabatan Kebajikan Islam Malaysia (Jakim) agar apa yang direncana mampu diolah menjadi realiti, tidak sekadar perancangan di atas kertas semata-mata.

"Kita patut malu disebabkan industri farmaseutikal halal di negara ini masih di takuk yang sama berbanding negara yang agama rasminya bukan Islam seperti Thailand dan Belgium," katanya.

Beliau berkata demikian semasa membentangkan kertas kerjanya 'Ubatan Halal dalam Industri Farmaseutikal: Langkah-Langkah ke Arah Penghasilan dan Pemerkasaan' di seminar 'Kemelut Pemakanan Halal: Ke Arah Penyelesaian' di sini.

Prof Dr Syed Azhar berkata umat Islam di negara ini wajar memainkan peranan dalam menuntut pemain industri farmaseutikal dalam melaksanakan dan membesarkan lagi kapasiti industri ubat-ubatan halal.

"Umat Islam perlu berhenti menggunakan alasan 'penggunaan secara darurat' dalam mengambil sebarang ubat kerana kini kita sudah ada ubat yang halal seratus peratus unsurnya.

"Jika dahulu sebelum farmaseutikal halal ada, orang ramai menggunakan alasan 'guna sebab darurat' ubatan yang tidak diyakini kandungannya tetapi kini tidak boleh lagi," katanya.

Beliau berkata dengan adanya penubuhan jawatankuasa khas itu nanti ia juga akan bertindak dalam mengesan dan mencari jalan penyelesaikan kepada penambahbaikan industri farmaseutikal halal.

"Antara kekangan utama adalah daripada pihak berkepentingan itu sendiri yang merasa sebagai farmaseutikal halal akan mengambil kos yang tinggi dan mereka ini perlu berwaspada dengan apa yang tertera dan terkandung di dalam MS2424," katanya.

Standard Malaysia - MS 2424:2020 (P): Farmaseutikal Halal: Garis Panduan Umum, iaitu garis panduan umum pertama diperbadankan di dunia untuk farmaseutikal halal.

Sementara itu, mengulas perlunya ada dos preskripsi di setiap label ubat-ubatan, Pengurus Besar Transformasi dan Kecemerlangan Halal, Chemical Company of Malaysia Berhad (CCM, Roziatul Akman Osman berkata ia perlu dijadikan isu utama semasa bagi membezakan sesuatu produk itu makanan ataupun ubat-ubatan.

"Sebelum halal farmaseutikal diperkenalkan yang ada hanyalah makanan halal sahaja dan dos preskripsi perlu bagi membezakan produk itu makanan atau ubat.

"Dalam farmaseutikal ada ubat yang berasaskan racun dan preskripsi dos amat perlu, walaupun ia bukan racun tetapi jika terlebih makan ia akan menjadi racun kepada pengambil.

"Preskripsi dos perlu dalam industri farmaseutikal tanpa mengambil kira produk tersebut halal atau tidak," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain