suria

Himpunan Bersih 3.0 Kerajaan Tawar Empat Lokasi - Hishammuddin

PUTRAJAYA: Kerajaan tidak menghalang badan bukan kerajaan menganjurkan perhimpunan pada hujung minggu ini di ibu negara, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

"Isu kerajaan melarang tidak timbul tetapi isunya sekarang ialah lokasi. Empat lokasi ditawarkan kepada mereka kini," katanya.

Penganjur perhimpunan yang disokong pembangkang itu memohon mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka tetapi ditolak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kerana perhimpunan itu tidak bertaraf nasional dan membabitkan kepentingan masyarakat manakala polis menolak lokasi itu kerana konteks keselamatan.

DBKL menawarkan Stadium Titiwangsa, Stadium Badminton dan Stadium Bolasepak Kuala Lumpur di Cheras sebagai lokasi alternatif manakala Perbadanan Stadium Malaysia menawarkan Stadium Nasional Bukit Jalil sebagai venue perhimpunan.

"Saya sudah katakan bahawa perhimpunan itu boleh berjalan dan ia bukan satu isu, isunya sekarang ialah lokasi, empat lokasi ditawarkan kepada mereka kini," katanya ketika ditemui di luar majlis pelancaran Talent Roadmap 2020 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini semalam.

Hishammuddin berkata penganjur perhimpunan itu ternyata cuba mengelirukan dan mengabui mata rakyat apabila menuduh DBKL, Polis Diraja Malaysia dan Menteri Dalam Negeri bercanggah pendapat berhubung penganjuran perhimpunan itu yang bertegas mahu mengadakannya di Dataran Merdeka.

"Mereka telah ditawarkan empat pilihan tempat untuk berhimpun dan tidak ada lagi alasan untuk mereka terus berhimpun di Dataran Merdeka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain