suria

Buruh Bangladesh Dipenjara Dua Bulan Kerana Cederakan Rakan Senegara

PETALING JAYA: Seorang buruh warga Bangladesh dihukum penjara dua bulan oleh Mahkamah Majistret di sini Rabu kerana mencederakan rakan senegaranya menggunakan sebatang kayu.

Majistret Ahmad Solihin Abdul Wahid menjatuhkan hukuman itu terhadap Abdul Awal, 36, kerana dengan sengaja mencederakan Md Qayum, di kawasan kilang kayu Kampung Baru Sungai Buloh, di sini, pada 11 malam, 11 Dis 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun, atau denda atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.

Peguam Christopher Joseph, yang mewakili tertuduh, ketika memohon hukuman ringan berkata pergaduhan itu berpunca daripada perselisihan faham antara mereka dan mangsa juga telah pulang ke negaranya.

Ahmad Solihin memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh dia ditangkap iaitu pada 11 Januari 2012.

Di mahkamah sama, seorang bekas jurujual dipenjara sehari dan didenda RM500 atau 10 hari penjara jika gagal membayar denda itu kerana mencuri beberapa helai pakaian dan seluar di sebuah pasar raya.

Marlina Marsuri, 23, mengaku bersalah mencuri empat helai baju dan sehelai seluar yang kesemuanya bernilai RM291.90 milik pasar raya Jusco One Utama, Damansara, di sini pada 10.25 malam, 30 Mac lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Tertuduh diwakili peguam Siti Rohaya Mohd Tajudin manakala pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Inspektor Jimbai Ak Bala. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain