suria

13 Remaja Ditahan Atas Kesalahan Merempit Di Labuan

LABUAN: Tiga belas remaja yang disyaki terlibat dalam aktiviti mat rempit dan jenayah diberkas dalam operasi cegah jenayah di sini, Isnin. Polis turut merampas sembilan buah motosikal yang dipercayai digunakan untuk aktiviti yang banyak mengundang kepada permasalahan jalan raya itu dalam operasi di kawasan terminal feri pusat bandar berikutan aduan awam.

Pemeriksaan terhadap remaja berkenaan mendapati pelbagai kesalahan seperti tidak memiliki lesen memandu manakala motosikal dan pemandu masih ditahan untuk siasatan lanjut.

Penguasa Polis Labuan, Saiman Kasran memberitahu Bernama operasi seperti ini akan dijalankan berterusan dan akan memberi tumpuan kepada golongan bermotosikal yang dilaporkan ada penglibatan dalam aktiviti rompakan dengan memecah cermin kereta dan mengambil barang pemilik kereta.

"Polis juga sedang berusaha mengesan kumpulan bermotosikal yang terlibat dengan aktiviti merempit di kawasan jalan Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Tanjung Aru," katanya.

Dalam kes berasingan, Polis Cawangan Jenayah menahan seorang lelaki berusia 25 tahun di kawasan Pekan Jati kerana dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian.

Turut dirampas daripada suspek adalah peralatan judi seperti kertas judi 4D, buku tulis, pen dan wang berjumlah RM374 yang berada di dalam beg sandang suspek. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain