suria

Tindakan Konsesi Pengurusan Sisa Pepejal Tidak Capai KPI - Chor

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan mengambil tindakan terhadap syarikat konsesi pengurusan sisa pepejal berdaftar yang tidak menunjukkan prestasi perkhidmatan memuaskan berkuatkuasa 1 September ini.

Sehubungan itu, Menteri berkenaan Datuk Seri Chor Chee Heung mengingatkan semua syarikat konsesi supaya mematuhi setiap peruntukan dalam Perjanjian Konsesi bagi mencapai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang ditetapkan.

"Adalah menjadi tanggungjawab syarikat konsesi untuk memastikan perkhidmatan pemungutan sisa pepejal dan pengurusan pembersihan awam dilaksanakan menepati KPI yang dipersetujui di dalam Perjanjian Konsesi," katanya semasa menjawab soalan Senator Datuk Boon Soom Inong.

Chor berkata matlamat utama adalah untuk mewujudkan sistem pengurusan sisa pepejal secara menyeluruh, bersepadu serta kos efektif di negara ini.

Kementerian turut menyokong cadangan supaya syarikat konsesi dikecualikan cukai impot untuk membeli kenderaan pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam, katanya. Beliau berkata bagi memastikan syarikat dapat memberikan perkhidmatan dengan lebih berkesan, semua lori kompaktor yang diguna untuk mengutip sisa pepejal milik Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di setiap negeri yang menerima penguatkuasaan Akta 627 diserah milik kepada syarikat konsesi.

"Saya mahu mereka lebih serius meningkatkan kecekapan perkhidmatan mereka bagi mencapai KPI yang ditetapkan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan selepas ia dikuatkuasa di semua Majlis Perbandaran dan Dewan Bandaraya," katanya.

Bagi merealisasikan pengurusan sisa pepejal yang lebih berkesan, Chor berkata tiga langkah telah dan sedang diambil oleh kementerian iaitu meningkatkan mutu perkhidmatan kutipan sisa pepejal melalui penguatkuasaan KPI yang dilaksana secara berperingkat dan seragam.

Selain itu, tapak sanitari baru akan dibina dan dinaik taraf serta menutup tapak pelupusan tidak sanitari yang telah mencapai kapasitinya terutama yang terletak di kawasan sensitif seperti di kawasan tadahan muka sauk.

Kaedah rawatan yang lebih canggih, mesra alam serta kos efektif seperti pembinaan insinerator dan 'Manual Recovery Facilities' (MRF) akan diterokai oleh kementerian.

"Sebagai contoh, KPKT sedang membina lima insinerator yang berkapasiti kurang daripada 100 tan sehari di Pulau Pinang, Pulau Pangkor, Wilayah Persekutuan Labuan, Cameron Highlands dan Pulau Tioman," katanya.

Chor berharap menerusi kempen kementerian, rakyat dapat menerima kaedah pengurusan sisa pepejal menggunakan teknologi terkini serta bersesuaian bagi memastikan pengurusan sisa pepejal yang lebih mapan dan lestari di masa hadapan. -BERNAMA

Artikel Lain