suria

Terengganu Ambil Langkah Komprehensif Selesai Isu Dua Solat Jumaat

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri Terengganu mengambil langkah komprehensif dalam menyelesaikan isu dua solat Jumaat dalam satu kariah yang masih berlaku di Hulu Besut.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Penerangan Negeri, Khazan Che Mat berkata telah banyak usaha dilaksanakan termasuk memberi penerangan tentang hukum mengadakan dua solat Jumaat dalam satu kariah. Beliau berkata, fatwa pernah dikeluarkan pada 1981 mengenai salah satu kes yang berlaku di Terengganu.

"Kerajaan juga telah menyiasat dan memberi penerangan di masjid-masjid terlibat dan jika ia memenuhi syarat ditetapkan seperti kampung yang besar dan mempunyai penduduk ramai, kelulusan diberikan untuk dibina dua masjid," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini, Selasa. Beliau menjawab soalan Nawi Mohamad (BN-Hulu Besut).

Mengulas lanjut, Khazan berkata sebahagian besar mereka yang terlibat dengan Solat Jumaat di dua masjid dalam satu kampung mengakui mereka terikat dengan fatwa yang telah dikeluarkan pemimpin mereka sebelum ini.

Sementara itu, Khazan berkata antara punca utama berlakunya perceraian di Terengganu mengikut kajian Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) ialah sikap tidak bertanggungjawab suami atau isteri.

"Selain itu ada juga campurtangan pihak ketiga, masalah sosial, masalah komunikasi, lemah didikan agama, masalah ekonomi dan campur tangan keluarga," katanya.

Khazan menjawab pertanyaan Ramlan Ali (BN-Jabi) mengenai jumlah pendaftaran perkahwinan dan perceraian seluruh negeri Terengganu sepanjang tahun lalu.

Menurutnya sepanjang tahun lalu sebanyak 10,982 perkahwinan didaftarkan di negeri Terengganu dan pada masa sama sebanyak 2,367 kes perceraian dicatatkan. Untuk mengelak angka perceraian terus meningkat, katanya, pelbagai program telah dilaksanakan kerajaan termasuk kursus praperkahwinan untuk memberi kefahaman kepada bakal pengantin tentang tanggungjawab yang bakal mereka hadapi dalam perkahwinan.

"Selain itu Yayasan Pembangunan Keluarga juga telah mengadakan pelbagai kursus untuk pasangan berkahwin untuk tempoh masa tertentu. Ini bagi menguatkan lagi hubungan suami isteri dan sebagainya," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain