suria

Speaker Dewan Negara Kesal Pegawai Kementerian Tidak Serius Bertugas

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang pada Selasa sekali lagi menegur pegawai kementerian-kementerian yang sepatutnya bertugas di Dewan Negara tetapi tidak menampakkan diri semasa Dewan bersidang.

Beliau kesal tiada pegawai kementerian yang hadir di Dewan untuk mencatatkan perbahasan oleh para Senator.

"Walaupun Menteri dan Timbalan Menteri tidak hadir pada sesi perbahasan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, ia tidak bermakna pegawai-pegawai kementerian juga tidak perlu hadir.

"Saya ingin mengingatkan, jangan ambil remeh, jangan ambil ringan apa yang berlaku di dalam Dewan ini. Pegawai-pegawai di peringkat bawah juga harus peka apa yang berlaku," katanya semasa persidangan Dewan Negara.

Abu Zahar, yang nyata tidak berpuas hati dengan karenah pegawai kementerian-kementerian, berkata beliau akan memaklumkan perkara itu kepada semua kementerian. -BERNAMA

Artikel Lain