suria

Semua Aktiviti Air Di Kem PLKN Dihentikan Serta Merta - Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR: Semua aktiviti air melibatkan kolam semula jadi dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) dihentikan serta merta, kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata langkah itu adalah untuk menjaga keselamatan pelatih PLK Nberikutan insiden kematian seorang pelatih akibat kencing tikus.

Ketika mengesahkan kematian R.Vinoth dari kem Terkok, Sungai Siput, Perak akibat penyakit kencing tikus, Ahmad Zahid, yang melahirkan rasa simpati terhadap keluarga mendiang, berkata keluarga mangsa akan menerima insurans berjumlah kira-kira RM50,000.

"Pemilik kem Terkok itu telah membuat rayuan untuk membuka semula kem berkenaan namun saya bertegas ia ditutup demi keselamatan pelatih PLKN," katanya pada sidang akhbar selepas melancarkan buku 100 Wira Negara di Universiti Islam Antarabangsa (UIA) di sini, Selasa.

Buku terbitan Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) itu memuatkan 100 tokoh negara, antaranya Tun Seri Dr Mahathir Mohamad, Datuk Sudirman Arshad, Mat Kilau dan Tok Kenali.

Ahmad Zahid turut memaklumkan bahawa tokoh yang digelar 'Wira Negara' termasuk penerima Pingat Setia Pahlawan (SP) dan Pingat Gagah Berani (PGB) akan dijemput untuk memberi ceremah di kem PLKN.

"Mereka akan dilantik mulai 1 Mei ini untuk memberi ceramah kepada peserta PLKN yang akan datang dan JLKN berharap tokoh-tokoh Wira Negara serta SP dan PGB yang tidak dapat dihubungi supaya menghubungi JLKN untuk tujuan itu," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil ketika dihubungi Bernama berkata ketetapan yang dibuat minggu lepas menyebut bahawa aktiviti air akan diteruskan sekiranya kem PLK Nmempunyai kemudahan kolam renang.

Beliau berkata sebelum ini pihak JLKN telah menggantung sementara semua aktiviti air yang melibatkan penggunaan kolam semula jadi.

Berikutan itu, katanya, aktiviti air setakat ini hanya boleh dijalankan di kem PLKN di Sibu kerana ia merupakan satu-satunya kem yang dilengkapi kolam renang. -BERNAMA

Artikel Lain