suria

Selepas Bakar Kereta, KL Diserang Geng Bakar Motosikal

KUALA LUMPUR: Selepas 23 kes membakar kereta mewah berlaku di sekitar ibu negara pada Mac lepas, perbuatan khianat itu kini menyasarkan motosikal pula dengan 32 kenderaan itu dibakar di kawasan kediaman di sini dalam tempoh 24 jam lepas.

Kejadian terbaru dilaporkan pada 1.23 pagi Isnin apabila 21 buah motosikal milik penduduk Flat Seri Selangor, Jalan Sun Peng, di sini rentung selepas dibaling dengan minyak petrol di kawasan meletak motosikal sebelum si pelakunya melarikan diri.

Empat jam selepas kejadian itu, sebuah bengkel motosikal di Kampung Padang Balang, Gombak, di sini pula dibakar dipercayai angkara perbuatan khianat hingga menyebabkan dua buah motosikal rentung.

Awal pagi Ahad lepas, dua buah motosikal dan sebuah kereta milik penduduk Flat Sri Tioman, Taman Melati, di sini dibakar dalam kejadian pada 5.58 pagi sebelum enam lagi motosikal pelbagai jenis rentung selepas dipercayai dibakar suspek yang sama di Blok 61, Bandar Baru Sentul, tiga jam kemudian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata berdasarkan siasatan awal Unit Forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) dan Unit Forensik Polis Kuala Lumpur, polis percaya terdapat unsur khianat dalam kesemua kejadian itu.

Beliau berkata polis percaya kesemua kejadian ini dilakukan empat lelaki bertopi keledar berdasarkan keterangan beberapa saksi.

"Beberapa saksi memberitahu melihat kelibat kesemua suspek sebelum kejadian berlaku namun kita masih menjejaki mereka berdasarkan beberapa petunjuk," katanya.

Sehubungan itu, Polis Kuala Lumpur meminta mana-mana pihak yang mempunyai maklumat supaya dapat menyalurkan maklumat segera kepada Rakan Cop Polis KL di talian 03-21159999 bagi membantu siasatan.

"Siasatan kes itu dijalankan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan khianat dengan api," katanya.

Pada Mac lepas, kejadian membakar kereta mewah dilakukan lelaki berumur 42 tahun, yang turut dipercayai terbabit dalam kejadian membakar kereta mewah seperti Skoda Octavia, BMW 523i, Kia Sorento dan Honda Accord dengan sekurang-kurangnya 23 kes dilaporkan.

Bagaimanapun, lelaki itu meninggal dunia pada 29 Mac di Hospital Kuala Lumpur selepas enam hari menerima rawatan akibat cedera ketika cuba melarikan diri daripada polis di persimpangan Kampung Pauh, Sentul. - BERNAMA

Artikel Lain