suria

Sekolah Integriti Di Penjara Bukti Kerajaan Prihatin Hak Belajar Anak-Anak

PADAWAN (Sarawak): Kewujudan Sekolah Integriti Kuching di Penjara Puncak Broneo di sini membuktikan kerajaan tidak pernah menafikan hak tahanan remaja untuk mendapatkan peluang pendidikan yang terbaik walaupun di mana mereka berada, kata Menteri Kebajikan, Wanita dan Pembangunan Keluarga Datuk Fatimah Abdullah.

Beliau berkata Sekolah Integriti Kuching di sini merupakan antara enam sekolah integriti yang ada di seluruh negara yang menyediakan kemudahan pendidikan menengah untuk tahanan berusia antara 18 hingga 21 tahun untuk mendapat pendidikan.

"Sekolah Integriti merupakan peluang kedua kepada pesalah-pesalah yang majoritinya remaja untuk mengubah kehidupan apabila mereka dibebaskan nanti sekaligus mendapatkan hak mereka untuk mendapat peluang pendidikan semula," katanya ketika memberi ucapan selepas melawat Sekolah Integriti Kuching di sini, Selasa.

Beliau berkata setakat ini terdapat 18 remaja yang sedang menjalani hukuman di Penjara Puncak Borneo meneruskan pelajaran mereka di Sekolah Integriti Kuching di sini. Menurutnya sekolah yang diwujudkan sejak 2009 dan didaftarkan di bawah Jabatan Pelajaran pada Januari 2011 itu mempunyai lapan orang guru berkelayakan selain mendapat bantuan daripada pihak pegawai penjara.

Dalam pada itu Fatimah mengingatkan masyarakat agar terus memberikan sokongan kepada bekas-bekas banduan yang ingin mengubah kehidupan mereka ke arah yang lebih baik. -BERNAMA

Artikel Lain