suria

Perhimpunan Bersih 3.0: Petekma Buat Laporan Polis

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Pemandu dan Pengusaha Teksi/Limosin dan Kereta Sewa Malaysia (Petekma) pada Selasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dan Wangi di sini bagi membantah perhimpunan anjuran sebuah badan bukan kerajaan yang disokong pembangkang pada Sabtu ini.

Timbalan Presidennya Mohd Shahril Abdul Aziz berkata laporan polis itu dibuat kerana perhimpunan itu bukan sahaja mengancam keselamatan awam malah menjejaskan pendapatan lebih 36,000 pemandu teksi di Lembah Klang.

"Perhimpunan itu akan membabitkan periuk nasi kami...ia akan menjejaskan pendapatan harian kami.

"Kebiasaannya pada hujung minggu, pendapatan kami boleh mencecah sehingga RM200 tetapi dengan adanya perhimpunan itu, sudah tentu pendapatan kami akan terjejas kerana akan berlaku kesesakan jalan raya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis itu.

Shahril berkata perhimpunan itu tidak sepatutnya diadakan di jalanan kerana ia menyukarkan pemandu teksi mencari rezeki selain menjejaskan aktiviti harian orang ramai.

"Bagi saya, perhimpunan itu akan memburukkan imej negara kepada pelancong. Kalau mereka nak adakan perhimpunan, pergilah adakan di mana-mana stadium tanpa merumitkan keadaan," katanya.

Menurutnya, berdasarkan perhimpunan-perhimpunan jalanan yang lepas, para pemandu teksi mengalami kerugian dan tiada pampasan diberikan kepada mereka. -BERNAMA

Artikel Lain