suria

Pendidikan Tinggi Percuma: Peluang Masuki Universiti Lebih Terhad

KUALA LUMPUR: Peluang untuk memasuki universiti akan menjadi lebih terhad sekiranya kerajaan melaksanakan pendidikan tinggi percuma.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, ini kerana wujudnya kekurangan dana untuk menampung jumlah pelajar yang lebih ramai.

"Hanya pelajar yang cemerlang akan berpeluang untuk melanjutkan pelajaran mereka.

"Walaupun jika pendidikan percuma diberikan, bagaimana caranya pelajar akan menampung keperluan hidup mereka tanpa pinjaman pendidikan," katanya selepas merasmikan bangunan baru Pusat Pembangunan Penyelidikan Universiti Malaya (UM) di sini, Isnin.

Mohamed Khaled berkata, negara ini tidak boleh mengecapi pembangunan sekiranya kerajaan hanya mengeluarkan pelaburan dalam pendidikan tanpa fokus terhadap sektor lain.

Mengambil Maghribi sebagai contoh, Mohamed Khaled berkata, negara itu menyediakan pendidikan tinggi percuma tetapi jauh ketinggalan dalam pembangunan ekonomi.

Menurut beliau, hanya 27,000 pelajar dapat ditampung sebelum Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diwujudkan.

"Hanya pelajar yang berkemampuan melanjutkan pelajaran mereka ke universiti.

"Ibu bapa banyak berkorban untuk membayar pendidikan anak-anak mereka. Dengan PTPTN, beban itu dapat dikurangkan," katanya.

Artikel Lain