suria

PAS Serah Memo Kepada Agong

KUALA LUMPUR: PAS bersama Gerakan Anti Pemalsuan IC (API), pada Selasa, menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah dan Majlis Raja-Raja bagi memohon perkenan membentuk Suruhanjaya Diraja menyiasat dakwaan penyelewengan pemberian taraf warganegara kepada warga asing.

Memorandum itu diserahkan oleh Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Datuk Syed Ahmad Danial.

"Kami mohon kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja untuk mempertimbangkan permohonan kami ini bagi diperkenankan penubuhan Suruhanjaya Diraja," katanya pada sidang media selepas penyerahan memorandum di Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, dekat sini, Selasa.

Mahfuz berkata menerusi memorandum yang dihantar, terdapat beberapa tuntutan lain dibuat agar warga asing yang tidak layak tidak terus diberikan taraf kerakyatan.

Beliau berkata, Suruhanjaya Diraja perlu ditubuhkan segera kerana ia melibatkan keselamatan negara dan telah merebak ke seluruh negara berbanding sebelum ini yang hanya berlaku di luar Semenanjung.

"Kita bimbang melihat warga asing seperti Nepal, Myanmar dan Indonesia yang diberi taraf warganegara datangnya dari negara yang bukan mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan.

"Ini akan memberikan kesan jangka panjang...terhakisnya atau hilangnya institusi raja perlembagaan dalam negara kita," katanya.

Selain itu, memorandum turut menuntut agar Yang di-Pertuan Agong tidak memperkenankan pembubaran Parlimen sehingga suruhanjaya selesai menjalankan siasatan dan mengambil tindakan yang perlu bagi membersih daftar pemilih daripada warga asing yang mendapat kerakyatan daripada pasukan khas.

Mengulas lanjut tentang memorandum itu, Mahfuz berkata ia juga mengandungi dakwaan penyelewengan yang berlaku termasuklah senarai nama mereka yang terlibat dalam pemberian taraf warganegara kepada warga asing

"Sebelum ini saya pernah membuat dakwaan di Parlimen dan sekali lagi (hari ini) diangkat kepada Yang di-Pertuan Agong iaitu tentang senarai nama yang terlibat dalam 'task force'," katanya.

Mahfuz berkata memorandum ini menyenaraikan sebahagian kecil daripada penemuan mereka iaitu 175,388 pengundi dalam daftar pemilih yang tidak tercatat kod kelahiran mereka dalam senarai Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

"Mereka ini adalah termasuk dalam pengundi yang sangat diragui tentang asal-usul negara mereka.

"Juga sebahagian daripada pemilih kita dapati berkod kelahiran 71 yang bukan berbangsa Melayu, Cina atau India yang menunjukkan mereka ini daripada Kemboja, Indonesia dan sebagainya," katanya.

Beliau menambah, terdapat juga sejumlah rakyat dari Filipina, Myanmar dan Nepal yang bukan dari Sabah, tetapi diberi taraf kerakyatan.

"Kalau orang Filipina dari Sabah mungkin dianggap isu lama tetapi mereka itu dari Semenanjung dan sebahagian daripada nama mereka itu ada dikepilkan bersama," katanya.

Petunjuk lain yang diberi ialah laporan polis yang dibuat di Sungai Plong berhubung penangkapan warga asing yang yang diberi kad pengenalan tetapi tiada tindakan atau dakwaan dibuat pihak polis terhadap mereka.

Artikel Lain