suria

Mukhriz Optimistik Teknologi Tinggi Jepun Tertarik Untuk Labur Di Koridor Utara

KYOTO: Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri optimistik Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) akan dapat meyakinkan lebih banyak syarikat berteknologi tinggi Jepun untuk melabur dalam koridor.

"Harapan saya ialah lebih banyak syarikat Jepun secara serius melihat Koridor Utara sebagai kawasan yang sangat sesuai dengan apa yang mereka fikirkan.

"(Di koridor) beberapa syarikat berasaskan pertanian tetapi (kami berharap) lebih banyak syarikat berteknologi tinggi," kata Datuk Mukhriz Tun Mahathir kepada Bernama.

Timbalan menteri itu mengetuai 28 anggota misi perdagangan dan pelaburan ke Kyoto dan Nagoya bermula Isnin.

NCIA yang meliputi empat negeri iaitu bahagian Utara Perak, Kedah, Perlis dan Pulau Pinang, mengambil bahagian dalam misi dua hari yang diketuai oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Redza Rafiq.

Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) menarik pelaburan terbesar tahun lepas dengan RM15.3 bilion lesen pembuatan diluluskan.

Di Nagoya, NCIA menyasarkan pelabur-pelabur berpotensi dalam industri-industri automotif, seramik maju, jentera dan peralatan, perkhidmatan kejuruteraan, elektronik, peranti elektronik maju dan komponen serta komponen aeroangkasa.

NCIA merupakan badan berkanun yang bertanggungjawab untuk menetapkan hala tuju, dasar dan program-program bagi NCER dengan empat bidang teras utama iaitu pertanian, pembuatan, pelancongan dan logistik. - BERNAMA

Artikel Lain