suria

MB Nafi Agihan Biasiswa Di Perlis Tidak Telus

KANGAR: Menteri Besar Perlis Datuk Seri Dr Md Isa Sabu pada Selasa menafikan dakwaan pembangkang kononnya program bantuan biasiswa di negeri ini tidak mencukupi dan pengagihan tidak telus.

Menjawab soalan lisan Yip Sun Onn (BN-Titi Tinggi) pada Dewan Undangan Negeri di sini hari ini beliau berkata segala tohmahan tersebut tidak berasas dan tidak benar sama sekali.

Katanya bagi bantuan biasiswa kepada pelajar sekolah, kerajaan menetapkan dasar biasiswa sebagai anugerah kepada murid yang layak sahaja berdasarkan kriteria tertentu dan ini bermakna bukan semua pelajar layak menerima biasiswa.

Jabatan Pelajaran Negeri Perlis hanya menguruskan Biasiswa Kecil Persekutuan (BKP) untuk pelajar tingkatan satu hingga lima dan Biasiswa Kecil Persekutuan Universiti (BKPU) untuk pelajar tingkatan enam sahaja.

Pemilihan mereka yang layak adalah bergantung kepada kelayakan iaitu pendapatan isi keluarga bawah RM1,500 sebulan tanpa menggunakan perkapita, jumlah peruntukan tahunan daripada kerajaan Persekutuan dan mestilah warganegara Malaysia.

Keutamaan diberi kepada murid berdasarkan pencapaian cemerlang dalam akademik, kokurikulum dan sukan serta tidak pernah menerima mana-mana biasiswa.

Mereka yang layak dipilih oleh sistem ini akan menerima biasiswa sebanyak RM70 sebulan atau RM840 setahun.

Bagi tahun 2011, sejumlah 1,190 murid dari seluruh Perlis menerima BKP dengan jumlah peruntukan sebanyak RM999,000.

Menteri Besar berkata pemberian biasiswa kerajaan bagi pelajar-pelajar institusi pengajian tinggi pula diuruskan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Bagi tahun 2012, kerajaan melalui JPA telah menyediakan sebanyak 10,650 biasiswa kepada pelajar cemerlang bagi pengajian peringkat ijazah pertama dalam dan luar negara membabitkan wang sebanyak RM971 juta.

Katanya jumlah tajaan yang disediakan setiap tahun bergantung kepada kemampuan kewangan semasa kerajaan dengan keutamaan kepada bidang-bidang kritikal dan bidang-bidang yang menjadi keutamaan perkhidmatan awam dan negara.

Menteri Besar berkata kerajaan negeri, walaupun dengan kekangan kewangan yang dihadapi, turut cuba membantu meringankan tanggungan pelajar-pelajar untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi melalui pemberian Dana Pelajaran dan Pinjaman Pelajaran. -BERNAMA

Artikel Lain