suria

Ku Nan Bidas Pembangkang Cadang Guna Pemantau Asing PRU-13

KUALA LUMPUR: Pakatan Pembangkang dibidas kerana cuba membawa masuk pemantau pilihan raya asing bagi memantau proses pilihan raya di negara ini tanpa melalui persetujuan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, tindakan membawa kira-kira 12 pemantau asing itu bertujuan sebagai elah pembangkang sekiranya mereka kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 PRU-12) akan datang.

"Pemantau pilihan raya patutnya hadir dengan pelawaan SPR, tapi mereka (pembangkang)ini panggil sendiri. Semua ini kawan-kawan merekalah," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Umno di sini, Selasa.

Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) mendedahkan bahawa beliau menerima surat daripada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mempelawanya mengadakan pertemuan bersama kumpulan pemantau asing terbabit.

"Saya dapat surat daripada Ketua Pembangkang mengatakan kononnya ada orang-orang daripada luar negara nak jumpa beliau...nak jumpa semua parti politik di negara ini berkenaan dengan pilihan raya yang bebas di Malaysia.

"Saya akan jumpa mereka, saya boleh jumpa, kita tak takut kerana saya akan terangkan," katanya.

Tegas Tengku Adnan yang juga Ahli Parlimen Putrajaya, pembangkang sengaja menggunakan helah pemantau asing kerana sudah meramalkan mereka akan kalah pada PRU-13 akan datang.

"Saya tahu rancangan mereka iaitu mereka sudah buat ramalan akan kalah.

"Bila mereka kalah mereka akan kata kita tipu, beliau (Anwar) nak kucar-kacirkan negara, beliau tak sayangkan negara ini," katanya.

Sementara itu mengulas mengenai senarai calon daripada parti komponen BN, Tengku Adnan berkata sehingga kini beliau baru menerima dua atau tiga senarai calon untuk bertanding pada PRU-13.

"Saya baru terima dua atau tiga senarai, kebiasaannya semua parti komponen akan hantar pada saat-saat akhir.

"Mereka mempunyai tempoh sehingga 30 April ini untuk berbuat demikian, sekarang ini masih awal," katanya.

Artikel Lain