suria

KPKT Bantu Ringankan Bebas Mangsa Rumah Terbengkalai - Chor

KUALA LUMPUR: Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mengambil beberapa inisiatif bagi membantu meringankan beban mangsa pembeli rumah terbengkalai di negara ini.

Menterinya Datuk Chor Chee Heung berkata inisiatif tersebut melibatkan pengeluaran surat pengesahan projek perumahan terbengkalai kepada pembiaya kewangan serta membantu pembeli rumah berbincang dengan pihak pembiaya bagi penyambungan pinjaman setelah pemaju penyelamat dikenal pasti melakukan kerja pemulihan.

Katanya inisiatif tersebut adalah tertakluk kepada penilaian institusi pembiaya ke atas peminjam berdasarkan merit setiap kes tetapi sekiranya pihak pembiaya tidak memberi sebarang bantuan, pembeli rumah boleh membuat aduan kepada kementerian dan akan dibawa ke Bank Negara (BNM) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan Senator Datuk Mustafa Kamal Mohd Yusoff mengenai isu rumah terbengkalai.

Chor berkata kementerian juga telah mencadangkan supaya satu kertas kerja dibentangkan ke Majlis Ekonomi Negara supaya BNM dapat memberi cadangan bagi meringankan beban mangsa pembeli rumah terbengkalai sekiranya pihak pembiaya tidak memberi pertimbangan sewajarnya. "Kerajaan memandang serius permasalahan ini yang boleh menyebabkan mangsa akan menjadi muflis jika kerajaan tidak serius dalam menangani isu ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Chor menambah kerajaan akan mengambil langkah-langkah bagi mengelakkan projek perumahan terbengkalai daripada berlaku pada masa akan datang seperti melakukan pindaan ke atas Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118).

Katanya kerajaan juga sedang berbincang secara holistik dengan penggiat industri berkenaan bagi mencari mekanisme pelaksanaan terbaik sistem bina kemudian jual yang menguntungkan semua pihak. "Sistem ini masih belum dilaksanakan dan kementerian berharap ianya dapat dimuktamadkan dengan semua pihak berkepentingan menjelang 2015," katanya. -BERNAMA

Artikel Lain