suria

Kerajaan Negeri Didakwa Cuba Gagalkan Program Lawatan Kerja TPM Di Bayan Baru

GEORGE TOWN: Umno Bahagian Bayan Baru mendakwa kerajaan negeri cuba menggagalkan program lawatan kerja sehari Tan Sri Muhyiddin Yassin di Pulau Pinang pada Khamis ini.

Ketua Perhubungan Umno Bayan Baru, Datuk Mohd Ridzwan Bakar berkata setelah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) melarang penganjuran majlis itu di tapak asal bertempat di Taman Iping, Batu Maung, pihaknya menukar lokasi dengan kerjasama Jabatan Kerja Raya dan polis negeri.

"Pada petang ini, jentera bahagian saya turun padang bersama-sama syarikat yang dilantik, mendirikan khemah di lokasi baru di Persiaran Mahsuri, Bayan Baru tetapi malangnya ada beberapa (pegawai) penguatkuasa MPPP datang meninjau kerja pemasangan seolah-olah tidak berpuas hati dengan kami.

"Sudahlah terpaksa bertukar lokasi yang lebih sempit, ini mereka hendak ganggu pula. Kita bukannya nak berceramah politik tetapi hendak bertemu masyarakat," katanya kepada pemberita di sini, Selasa.

Mohd Ridzwan kemudiannya menempatkan beberapa petugas berkawal di sekitar lokasi berkenaan. Sebelum ini, Ketua Umno Bahagian Bayan Baru, Datuk Abdul Rahim Saibu menyelar tindakan anggota Exco negeri, Abdul Malik Abul Kassim yang seakan cuba mensabotaj penganjuran majlis Kenduri Rakyat 1Malaysia anjuran Barisan Nasional dengan menghalang pihaknya mendirikan khemah di lokasi asal majlis itu, Taman Iping, Batu Maung.

Abdul Rahim berkata pada Ahad lepas, Abdul Malik bersama-sama beberapa penguatkuasa MPPP telah melarang pihaknya mendirikan khemah di kawasan itu dengan alasan lokasi itu di bawah kelolaan MPPP dan mereka tidak mendapat kebenaran MPPP untuk mendirikan khemah.

Ekoran insiden itu, Abdul Rahim telah menukar lokasi majlis itu di Persiaran Mahsuri, Bayan Baru. Muhyiddin dijadual memulakan lawatan kerja pada Khamis ini dengan menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Warga Kilang di kilang Western Digital di Bayan Lepas di sini pada pukul 9.30 pagi.

Kemudian, Timbalan Perdana Menteri dijadual menghadiri makan tengah hari pada kenduri rakyat 1Malaysia bersama lebih 5,000 penduduk kawasan Bayan Baru, persatuan-persatuan nelayan dan peladang di Persiaran Mahsuri, Bayan Baru. -BERNAMA

Artikel Lain