suria

Kemunculan Parti Baru Tidak Jejaskan Keyakinan Rakyat Sarawak Terhadap BN

KUCHING: Kemunculan parti politik baru menjelang pilihan raya umum akan datang tidak memberi kesan besar terhadap politik Sarawak kerana rakyat terus yakin dengan Barisan Nasional (BN), kata Menteri Pelancongan Negeri Datuk Amar Abang Johari Tun Openg, Selasa.

Abang Johari, yang juga Timbalan Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata penubuhan parti baru sudah menjadi perkara lumrah, terutama menjelang pilihan raya, dan biasanya parti ini akan lenyap selepas itu.

"Rakyat bersikap rasional... mereka dapat melihat rekod prestasi BN," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan anugerah Golden City Gate (Das Goldene Stadttor), yang dimenangi Sarawak dalam kategori kempen melalui media cetak pada pameran perjalanan ITB Berlin baru-baru ini, kepada Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud.

Mengulas tentang pendaftaran Parti Pekerja Sarawak (SWP) yang diluluskan Kementerian Dalam Negeri Rabu lepas, Abang Johari berkata kehadiran parti itu hanya mempunyai kesan minimum terhadap pengundi sekiranya bertanding menentang BN.

Menurut Pendaftar Pertubuhan, lima parti lagi Parti Aman Sarawak (Peace Party), Parti Ekonomi Rakyat Sarawak Bersatu (PERSB), Parti Bumi Kenyalang (PBM), Parti Bansa Dayak Sarawak Baru (PBDS Baru), Perikatan Rakyat Bagi Keadilan dan Parti Tenaga Rakyat Sarawak (Teras) sedang menunggu kelulusan kementerian berkenaan. - BERNAMA

Artikel Lain