suria

Isu Pengambilan Tanah Peneroka Felda Sendayan Selesai - MB

SEREMBAN: Isu pengambilan tanah peneroka Felda Sendayan, dekat sini untuk tujuan pembangunan yang berlarutan lebih 10 tahun telah diselesaikan dengan manfaat besar diberikan kepada peneroka-peneroka yang terlibat.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, isu itu diselesaikan selepas kerajaan negeri melalui Perbadanan Menteri Besar (MBI) mengambil alih projek itu daripada syarikat swasta yang bertanggungjawab dan menawarkan pakej menarik kepada peneroka.

Menjawab soalan Zaifulbahri Idris (BN-Chembong) pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini Selasa, Mohamad berkata manfaat yang diberikan kepada peneroka terlibat adalah wang tunai lebih RM500,000, sebuah banglo dan lot tanah pertanian untuk diusahakan.

"Isu ini bermula apabila syarikat pemaju swasta yang bertanggungjawab membangunkan kawasan itu menghadapi masalah kewangan ketika krisis ekonomi tahun 1998 dan berikutan itu, pemaju tidak dapat meneruskan projek pembangunan sedangkan bayaran deposit sebanyak 10 peratus sudah dibayar kepada peneroka.

"Ekoran itu, projek berkenaan terbengkalai kerana tiada syarikat lain sanggup mengambil alih projek terbabit yang dianggap tidak memberi pulangan setimpal berbanding modal besar yang perlu dikeluarkan.

"Akhirnya, MBI mengambil alih projek itu pada 2007 dan menawarkan pakej menarik kepada peneroka iaitu wang tunai lebih RM500,000, sebuah banglo dan lot tanah pertanian untuk diusahakan," katanya.

Mohamad berkata, seramai 513 peneroka menerima tawaran berkenaan dan kini gembira apabila banglo yang diberi kepada mereka dulu bernilai RM240,000 kini meningkat kepada kira-kira RM500,000 hasil kepesatan pembangunan kawasan berkenaan.

Katanya, bagaimanapun ada beberapa peneroka enggan menerima tawaran berkenaan kerana dipengaruhi pihak tertentu dan telah bertindak membawa kes berkenaan ke mahkamah untuk menyaman kerajaan negeri dan pemaju lama.

"Kita kasihan kepada mereka kerana akhirnya Mahkamah Persekutuan menolak kes itu dan mengarahkan kerajaan negeri membayar pampasan yang nilainya jauh lebih rendah daripada ditawarkan kepada mereka sebelum ini.

"Mereka juga tidak menerima banglo dan lot tanah pertanian, malah terpaksa membayar kos guaman yang tinggi kerana kes itu berlarutan lama," katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak dapat membantu peneroka terbabit kerana perjanjian yang ditawarkan kepada mereka sebelum ini tidak diterima mereka. - BERNAMA

Artikel Lain