suria

Ibu Mangsa Dera Turut Disiasat Polis

KUALA TERENGGANU: Polis mengesahkan pihaknya kini menyiasat ibu kepada mangsa dera Mohd Danish Aiman Abdullah berikutan insiden yang menimpa mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri ACP K.Manoharan berkata wanita berusia 22 tahun itu sudah dipanggil untuk memberi keterangan namun tindakan untuk menahannya belum diambil.

Katanya, hasil siasatan lanjut pihaknya mendapati ibu itu mempunyai rekod jenayah berkaitan dadah.

"Suspek utama kes ini ialah teman lelaki kepada ibu mangsa iaitu Azhar Jusoh, berusia 31 tahun. Tapi dalam masa sama kita turut siasat ibu mangsa sebab dia ada ketika kejadian," katanya ketika dihubungi di sini.

Sabtu lalu Bernama melaporkan seorang kanak-kanak koma setelah dipercayai didera dengan ditampar oleh teman lelaki ibunya ekoran perselisihan faham antara wanita itu dengan lelaki tersebut.

Akibat penderaan itu Mohd Danish mengalami pendarahan pada otak, namun keadaannya dilaporkan stabil selepas menjalani pembedahan.

Kanak-kanak malang itu terpaksa menjalani pembedahan susulan selepas ini ekoran kecederaan yang dialami selain terdapat kesan kecederaan lama dipercayai sudah banyak kali didera. Menurut Manoharan Azhar yang berasal dari Kampung Tualang, Manir masih belum dapat ditangkap dan pihaknya telah mengedarkan gambar suspek.

Sehubungan itu beliau meminta orang ramai yang mengenali dan mempunyai maklumat berkaitan suspek agar menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya. -BERNAMA

Artikel Lain