suria

Halang Tugas Penjawat Awam: Empat Lelaki Ditahan Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Empat termasuk dua pelajar ditahan di kawasan Dataran Merdeka pada Selasa kerana menghalang penjawat awam iaitu anggota Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan tugas untuk merampas khemah-khemah yang dipasang di kawasan berkenaan.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam satu kenyataan hari ini berkata empat laporan polis dibuat berhubung tangkapan yang dilakukan pegawai DBKL terhadap empat lelaki berkenaan.

Tangkapan itu melibatkan dua pelajar Universiti Perindustrian Selangor (Unisel) masing-masing berumur 19 tahun, seorang kakitangan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) berumur 24 tahun dan seorang pekerja swasta berumur 23 tahun.

Mohmad berkata kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

"Semua tangkapan akan diberi jamin polis sehingga esok pagi sekiranya siasatan dapat diselesaikan pada malam ini," katanya.

Sekumpulan aktivis mahasiswa dilaporkan mendirikan khemah di Dataran Merdeka menuntut agar pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dimansuhkan. -BERNAMA

Artikel Lain