suria

Golongan Miskin & Pekerja Komited Tidak Akan Diabaikan Kerajaan - PM

PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia yang miskin dan komited melakukan pekerjaan mereka tidak akan diabaikan oleh kerajaan Barisan Nasional, kata Perdana Menteri.

Datuk Seri Najib Tun Razak menceritakan mengenai lawatan memilukan ke sebuah kampung yang dipanggil Kampung Bantal, Pahang, di mana penduduknya berpendapatan rendah dan hanya bergantung kepada kemudahan asas.

"Penduduk yang melalui perkampungan itu terpaksa menempuh perjalanan yang panjang dan sebelum mereka boleh meneruskan perjalanan, mereka akan berehat terlebih dahulu di Kampung Bantal.

"Sebagai seorang Perdana Menteri, saya tidak akan membiarkan penduduk di Kampung Bantal tercicir daripada arus kemajuan negara," katanya menerusi laman blognya di http://www. 1Malaysia.com.my, Isnin.

Beliau menyenaraikan pelbagai inisiatif kerajaan di bawah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk menangani kos sara hidup dengan peruntukan sebanyak RM36.7 bilion kepada rakyat sepanjang 2010 hingga 2011.

"Inisiatif NKRA Kos Sara Hidup merupakan cara saya untuk memastikan isu-isu berkaitan pendapatan rakyat ditangani sewajarnya.

"Rakyat Malaysia yang komited melakukan pekerjaan mereka tidak sepatutnya dibebankan dengan kos sara hidup yang semakin meningkat," katanya.

Menurut beliau, kerajaan memberi subsidi untuk gula, tepung dan petrol.

Najib turut memberitahu mengenai pakej bantuan kewangan yang lebih dikenali sebagai Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) berjumlah RM500 yang memberi manfaat kepada kira-kira 4.78 juta isi rumah.

Kerajaan juga memperuntukan sumbangan berjumlah RM530 juta kepada rakyat di mana ibu bapa layak menerima RM100 bagi setiap anak yang masih bersekolah, kata Najib.

Artikel Lain