suria

Edar Dadah: Hukuman Mati Terhadap Pekerja Kontrak Indonesia Kekal

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini mengekalkan hukuman mati terhadap seorang pekerja kontrak Indonesia kerana mengedar kanabis seberat 938.91 gram.

Hakim Besar Malaya Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang mengetuai panel lima hakim, berkata mahkamah tidak mahu mengganggu penemuan fakta oleh Mahkamah Tinggi Johor Baharu berhubung bungkusan dadah yang dijumpai di dalam kereta yang dipandu oleh Fernandez.

Turut sama bersidang ialah Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Richard Malanjum dan hakim-hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Datuk Hashim Yusoff, Datuk Suriyadi Halim Omar dan Datin Paduka Zaleha Zahari.

Kesemua panel hakim sebulat suara menolak rayuan terakhir Fernandez terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 29 Ogos 2008 yang mensabitkan kesalahan tertuduh dan mengarahkan tertuduh dihukum gantung sampai mati kerana mengedar dadah.

Fernandez, 36, didapati bersalah mengedar dadah di Jalan Kubur di Kampung Bakar Batu, Johor Baharu pada 9.15 malam, 29 April 2004. Rayuan tertuduh di Mahkamah Rayuan terhadap sabitan dan hukuman ditolak pada 2 November tahun lepas.

Fernandez diwakili peguam T. Vijay manakala Timbalan Pendakwa Raya Idham Abdul Ghani bagi pihak pendakwaan. -BERNAMA

Artikel Lain