suria

DUN Perlis Terima Cadangan Pelantikan Dua Senator

KANGAR: Persidangan Dewan Undangan Negeri Perlis pada Selasa menerima cadangan pelantikan dua Ahli Dewan Negara yang dikemukakan Menteri Besar Datuk Seri Dr Md Isa Sabu.

Mereka ialah Abdul Shukor Mohd Sultan, 62, dan Mohd Khalid Ahmad, 58.

Abdul Shukor merupakan Penolong Pengurus Besar Kilang Gula Felda Perlis Sdn Bhd, yang dicadang berkhidmat untuk tempoh tiga tahun bagi menggantikan Ahmad Hussain yang telah tamat tempoh perkhidmatan maksimum selama dua penggal.

Cadangan tersebut disokong oleh Sabry Ahmad (BN-Santan) dan kemudian dipersetujui sebulat suara untuk membolehkan Abdul Shukor yang juga Ahli Jawatankuasa Umno Bahagian Padang Besar dan Ketua Umno Cawangan Gula Felda memulakan perkhidmatannya mulai esok.

Md Isa kemudian mencadangkan pula nama Mohd Khalid yang tamat tempoh tugasnya sebagai Ahli Dewan Negara selama satu penggal esok untuk membolehkannya menyambung tugas maksimum satu penggal lagi.

Cadangan itu disokong oleh Datuk Seri Diraja Syed Razlan Syed Putra Jamalullail (BN-Pauh) yang kemudian dipersetujui sebulat suara bagi membolehkan Mohd Khalid menyambung tugasnya bermula esok.

Mohd Khalid yang mula menjadi Senator pada April 2009 merupakan Naib Ketua Umno Bahagian Arau dan Ketua Umno Cawangan RPA Arau.

Beliau aktif dalam politik sejak 1986 apabila menjadi ahli jawatankuasa Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Arau. -BERNAMA

Artikel Lain