suria

Dua Sahabat Maut Digilis Lori

BALIK PULAU: Dua sahabat terbunuh digilis lori dalam satu kemalangan di laluan bertingkat Jalan Sultan Azlan Shah menghala ke Bayan Baru dekat sini, Selasa.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Supt Hatta Md Zin berkata pada kejadian pukul 9.15 pagi itu motosikal yang dinaiki kedua-dua lelaki warga Myanmmar itu bergesel dengan sebuah forklift sebelum hilang kawalan dan terbabas ke tengah jalan.

"Menurut saksi, sebuah lori dari laluan yang sama telah merempuh mangsa yang tercampak ke tengah jalan," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan cek bantuan saguhati kepada 25 orang bekas polis yang berkhidmat semasa darurat, di sini, Selasa.

Hatta berkata kedua-dua lelaki berusia 20-an mengalami kecederaan parah di kepala meninggal dunia di tempat kejadian. "Mayat mereka telah dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Balik Pulau untuk bedah siasat," katanya.

Katanya, polis sedang berusaha mengesan pemandu lori yang menghilangkan diri selepas insiden itu bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu. -BERNAMA

Artikel Lain