suria

"Saya Tak Akan Tanding Sebagai Calon Bebas" - Zahid

Zahid Md Arip
Zahid Md Arip
Zahid Md Arip

PETALING JAYA: Mursyidul Am Gerakan Tolak Individu Bernama Anwar Ibrahim (Tibai), Zahid Md Arip menegaskan, beliau tidak sekali-kali akan membelakangkan partinya iaitu Umno dalam membuat keputusan untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh dalam pilihan raya umum akan datang.

Ini kerana kata Zahid, beliau adalah seorang ahli parti yang setia.

“Walaupun Tibai ini tidak kena mengena dengan Umno tapi saya tidak akan bertanding sebagai calon Bebas atas tiket Tibai...sebab itulah dalam ucapan saya ketika pelancaran Tibai pada malam Ahad lalu saya menyatakan dengan jelas bahawa saya sanggup bertanding jika diizinkan oleh parti saya iaitu Umno,” ujarnya ketika dihubungi mStar Online.

Semalam (Ahad) ketika majlis pelancaran Tibai di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur, Zahid telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding di kerusi Parlimen Permatang Pauh menentang penyandang kerusi tersebut iaitu Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peraturan Umno melarang mana-mana ahlinya bertanding atas tiket Bebas. Jika berbuat demikian mereka boleh dipecat sebagai ahli parti.

Mengulas lanjut mengenai kesediaannya itu, Zahid berharap, pucuk pimpinan parti akan memberi pertimbangan yang sewajarnya ke atas permintaannya itu.

“Saya bukan orang besar...bukan juga profesor universiti tapi saya hanya sekadar orang biasa. Saya tidak rugi apa-apa jika diizinkan bertanding di Permatang Pauh,” ujar Zahid.

Dalam pada itu, ditanya apakah keputusannya untuk mengetuai Tibai dan menggunakan gelaran ‘mursyidul am’ yang selama ini hanya digunakan oleh PAS telah menyebabkan beliau dihujani dengan kritikan dan kecaman yang menggunung daripada pihak pembangkang, Zahid menjawab; “Jangan kata menggunung malah bergunung-gunung kecaman yang saya terima tetapi ia tidak sedikit pun mengugat tidur saya.”

Jelas Zahid, beliau lahir dari kalangan keluarga politik dan telah melalui sepak terajang dalam politik sejak dari dalam Umno dan kemudian meninggalkan Umno untuk menyertai Keadilan dan kini kembali ke dalam Umno.

“Tidur saya nyenyak...sedikit pun tak terjejas kerana saya bukan baru dalam politik. Saya dah biasa dengan asam garam dalam kehidupan berpolitik. Saya boleh terima ini semua dengan dada yang lapang,” ujarnya lagi.

Beliau juga turut mengucapkan terima kasih kepada semua penyokong pembangkang kerana tulisan dan kecaman mereka telah memberi publisiti kepada Tibai sehingga mendapat perhatian umum.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain