suria

Polis Tahan 2 Lelaki Di Dataran Merdeka

KUALA LUMPUR: Polis menahan dua lelaki hari ini berikutan kedua-duanya enggan mematuhi arahan pegawai penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Dataran Merdeka di sini, pagi Ahad.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Mohmad Salleh dalam kenyataannya hari ini berkata lelaki pertama ditahan oleh pegawai DBKL kerana didapati tidak mahu menanggalkan khemah yang dipasang di Dataran Merdeka.

Menurutnya ketika lelaki pertama sedang dibawa oleh pegawai DBKL berkenaan untuk ke balai polis, datang seorang lelaki lain dan cuba menarik tangan lelaki pertama itu.

"Lelaki kedua telah bertindak agresif dengan menolak bahu salah seorang pegawai DBKL dan kemudiannya dia juga ditahan kerana menghalang pegawai berkenaan menjalankan tugas rasmi," katanya.

Mohmad berkata kedua-dua tahanan telah diserahkan kepada polis untuk siasatan dan turut dirampas beberapa peralatan perkhemahan dan makanan.

Beliau berkata kedua-dua lelaki berkenaan yang berumur 35 dan 23 tahun itu bukan penuntut institusi pengajian tinggi.

Lelaki pertama ditahan mengikut Seksyen 40 Akta Jalan, Parit dan Bangunan, telah diberi jaminan polis dan kes diserahkan kepada DBKL untuk disiasat.

Manakala lelaki kedua pula ditahan mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan diberi jaminan oleh polis sejurus selepas diambil keterangan dan diminta hadir ke mahkamah Jalan Duta esok, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain