suria

Pelajar Kolej Swasta Didakwa Halang Tugas DBKL

KUALA LUMPUR: Seorang pelajar kolej swasta mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin terhadap pertuduhan menghalang penjawat awam menjalankan tugasnya.

Umar Mohamad Azmi, 23, didakwa dengan sengaja menghalang seorang pegawai penguatkuasaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Mohd Masran Mamat, 34, menjalankan tugasnya untuk menangkap Mohd Fahmi Reza Mohd Zain, 35.

Dia yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-23 hari ini didakwa melakukan kesalahan itu di Dataran Merdeka, Jalan Raja di sini, semalam, pukul 8.05 pagi.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Wong Chai Sia menawarkan jaminan RM4,000 dengan seorang penjamin tetapi peguam Syahredzan Johan yang mewakili Umar memohon jaminan dikurangkan kepada RM1,000.

Beliau berkata ayah tertuduh bekerja di syarikat pemasangan paip di luar pantai dan menanggung isterinya yang sedang belajar dan tiga anak termasuk tertuduh.

Majistret Zaki Asyraf Zubir membenarkan Umar diikat jamin RM1,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 8 Mei untuk sebutan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain