suria

PAS P.Pinang Setuju Gesaan Agar Abdul Malik Lepas Jawatan YDP MAINPP

GEORGE TOWN: PAS Pulau Pinang bersetuju dengan tuntutan Dewan Pemudanya agar Exco Agama, Abdul Malik Abul Kassim melepaskan jawatan Yang Dipertua (YDP) Majlis Agama Islam Pulau Pinang (MAIPP).

Pesuruhjaya PAS negeri Datuk Salleh Man berkata beliau juga berpandangan serupa dengan Pemuda PAS negeri agar Parti Keadilan Rakyat menunaikan janji untuk menyerahkan jawatan YDP MAINPP kepada PAS negeri.

"Dewan Pemuda PAS negeri sudah mengemukakan pandangan terbaik dan menyatakan bahawa mereka tidak setuju Abdul Malik memegang jawatan YDP MAIPP dan mahu melepaskannya, saya akur dengan tuntutan itu serta menghormatinya," katanya kepada pemberita, di sini, Isnin.

Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan pernah berjanji akan memberikan jawatan tersebut kepada Salleh selaku Pesuruhjaya PAS negeri jika beliau memenangi pilihan raya kecil kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN)Permatang Pasir dua tahun lepas.

Namun selepas kemenangan Salleh, kerajaan negeri Pulau Pinang melantik Abdul Malik sebagai YDP MAINPP dan Salleh sebagai Timbalannya.

Atas desakan pelbagai pihak termasuk PAS, kerajaan negeri pimpinan DAP itu kemudian mengemukakan surat kepada Yang di-Pertuan Agong pada 20 Jan lepas untuk memohon perkenan pelantikan Salleh sebagai YDP MAINPP. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Umno Pulau Pinang Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata pihaknya mahu kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng menjelaskan sama ada jawatan YDP MAINPP telah dikosongkan atau sebaliknya.

"Kalau isu ini pun pakatan tidak boleh tunaikan janji sesama mereka, bagaimana nak kotakan janji-janji yang mereka buat dalam buku jingga. "Inilah mainan politik Pakatan pembangkang dan yang menjadi mangsa adalah PAS, tetapi parti itu (PAS) dan Salleh tidak sedar mereka dipermainkan," katanya. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain