suria

Liow Tidak Puas Hati Usaha Kurangkan Kes Keracunan Makanan Di Kantin Sekolah

SHAH ALAM: Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata beliau masih tidak berpuas hati dengan usaha menangani isu keracunan makanan di kantin sekolah dan menganggap 146 kes tahun lepas masih tinggi.

Katanya walaupun bilangan kes itu hanya mewakili 1.4 peratus daripada jumlah sekolah di negara ini, kes keracunan makanan di kantin sekolah sepatutnya tidak berlaku langsung.

Kes keracunan boleh dikurangkan lagi jika pengendali makanan di kantin dan guru sama-sama memikul tanggungjawab memastikan makanan yang dijual adalah bersih dan selamat, katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Anugerah Kantin dan Dewan Makan Sekolah Menengah Bersih 2011, di sini, Isnin.

Beliau juga turut meminta pelajar mengamalkan tiga langkah penting iaitu lihat, hidu dan rasa ketika memilih makanan bagi mengelakkan keracunan.

"Menerusi ketiga-tiga langkah berkenaan, kes keracunan makanan yang berlaku di sekolah rendah dapat dikurangkan," katanya. Tahun lepas, sebanyak 434 kes keracunan makanan dilaporkan di seluruh negara dan daripada jumlah itu 146 kes dilaporkan berlaku di 135 buah sekolah.

Sehubungan itu, Liow meminta Kementerian Pelajaran menyenaraihitamkan pengusaha kantin sekolah yang didapati menyebabkan berlakunya kes keracunan makanan pada kalangan pelajar. "Kementerian Kesihatan telah mengeluarkan amaran, arahan penutupan premis kepada mana-mana kantin yang kotor dan berisiko tinggi menyebabkan berlakunya kes keracunan makanan di kalangan pelajar," katanya. Katanya pengusaha kantin sekolah yang disenaraihitam tidak dibenarkan menjalani perniagaan di sekolah lain, serta perlu mengikuti kurus pengendalian makanan jika mahu menyambung semula operasi perniagaan mereka.

Pada majlis itu Liow turut melancarkan portal e-Komuniti iaitu Kelab Laman Interaktif Keselamatan Makanan ataupun MOH KLIK yang merupakan inisiatif Kementerian Kesihatan untuk membantu pelajar sekolah mendapat maklumat mengenai keselamatan makanan.

Menerusi "fan page" pada MOH KLIK, warga sekolah boleh berinteraksi dengan kementerian kesihatan itu. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain