suria

Kematian Anak Bekas Ketua Unit Pendakwaan, Cedera Akibat Kemalangan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Koroner pada Isnin memutuskan bahawa kematian B. Sobaanthiran Pillai, yang merupakan anak lelaki kepada bekas Ketua Unit Pendakwaan Mahkamah Kuala Lumpur, B. Sarala Pillai disebabkan kecederaan akibat kemalangan jalan raya.

Koroner Mohd Azali Ibrahim dalam penghakimannya berkata mahkamah mendapati kes itu adalah satu kes 'misadventure' iaitu hanya berlaku disebabkan oleh keadaan yang sengaja atau tidak disengajakan sehingga menyebabkan kematian si mati (Sobaanthiran).

Sobaanthiran, 20, ditemui mati di Jalan Maarof berhampiran Public Bank Bangsar di sini, antara pukul 5 pagi ke 5.30 pagi pada 10 September 2009.

Mohd Azali berkata si mati, yang merupakan penumpang kereta jenis Proton Satria GTI telah meninggal dunia di tempat kejadian apabila dia tercampak dari kenderaan selepas kereta itu dipandu laju dan terbabas di bahu jalan lalu melanggar tiang lampu jalan.

Katanya saksi inkues ke-10, Dr Nurulhasanah Mustapar dari Bahagian Forensik Hospital Kuala Lumpur yang melakukan bedah siasat pada hari yang sama, dalam laporan bedah siasatnya menyatakan bahawa kematian si mati disebabkan kecederaan teruk pada bahagian kepala, dada dan bahagian badan yang lain selari dengan kesan akibat kemalangan jalan raya. Mohd Azali berkata pemeriksaan yang dilakukan oleh Nurulhasanah mendapati bahawa kematian si mati tidak terdorong atau disebabkan oleh apa-apa penyakit yang boleh membawa kepada kematian itu.

"Mahkamah berpendapat kematian dan punca si mati tercampak dari kenderaan akibat daripada kegagalan tali pinggang keledar di bahagian penumpang.

"Ini menyebabkan si mati terpelanting keluar melalui cermin hadapan akibat hentaman yang kuat sewaktu kejadian," kata Koroner itu.

Seramai 20 saksi memberi keterangan termasuk pemandu kereta itu, Mandeep Singh, pegawai forensik, teman wanita si mati, T. Tirupura Sundari dan bapa si mati, Balakrishnan Pillai, yang bertindak sebagai peguam dalam kes ini bagi mewakili keluarganya.

Turut serta ialah peguam yang mewakili keluarga si mati Tan Sri Dr Abdul Aziz Ab Rahman, Saseedharan Menon dan B.Muralidharan.

Menurut Balakrishnan inkues yang bermula pada tahun lepas diadakan bagi menyiasat kematian pelajar terbabit kerana terdapat kemungkinan siasatan yang dijalankan oleh pihak polis dibuat secara tidak menyeluruh.

Inkues bagi menyiasat kematian Sobaanthiran itu dibantu Timbalan Pendakwa Raya Vincent Chew Zi Xian. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain