suria

Keaslian “Pakar Agama”

ARTIKEL saya yang lepas menyebabkan ramai yang memberi sumbang saraan berkenaan isu pembaziran ceramah agama. Ada yang bersetuju dan ada yang menyangkal tidak kurang pula yang memberi penambah baikan tentang isu pembaziran ceramah agama ini.

Kali ini izinkan saya membuka sedikit minda kita berkenaan dengan isu penceramah agama pula. Sedari mahupun tidak, ketika ini, Alhamdulillah bumi Malaysia yang kita huni ini dimurnikan dengan ramai ahli pandai dalam bidang agama.

Ke mana sahaja kita pergi, adalah tidak begitu sukar untuk kita mencari bijak pandai dalam bidang ini. Boleh dikatakan dalam setiap komuniti pasti ada seseorang yang bergelar ustaz mahupun ustazah.

Namun hakikatnya berapa ramaikah di antara mereka yang bergelar ustaz dan ustazah ini merupakan ahli yang sebenarnya dalam bidang mereka.

Keaslian Gelaran

Satu masa dahulu, apabila jabatan-jabatan agama Islam selurah negara mula mewartakan setiap penceramah agama perlu mendapat tauliah untuk menyampaikan ceramah, menyebabkan ramai “bijak-pandai” dalam hal ini mula melatah.

Tidak kurang pula yang melaungkan betapa tidak Islamiknya pihak penguasa dan tidak kurang yang bersuara, mengatakan kerajaan ingin menyekat perkembangan agama Islam itu sendiri.

Tetapi apakah “gist” di sebalik peraturan tersebut? Mengapakah setengah-setengah pihak cukup “phobia” dengan apa jua tindakan yang dilakukan oleh kerajaan?

Adakah semua benda yang hasil dari kerajaan itu salah dan sepatutnya dibakul sampahkan?

Mari kita kaji dan perhatikan keadaan semasa, begitu bercambahnya mereka yang bergelar “ustaz” dan “ustazah” ini, seolah-olah siapa sahaja yang boleh berbicara berkenaan agama dikalungkan dengan gelaran mulia ini.

Mungkin selepas ini ada yang mengkritik saya dengan mengatakan tiada kayu pengukur khusus dalam isu ini, kerana ilmu agama luas dan ada pula yang akan berhujah berkenaan dengan “ilmu laduni” dengan saya.

Ironinya, saya tidak mempertikaikan tahap keilmuan seseorang itu. Apa yang ingin saya ketengahkan ialah berapa ramaikah golongan ini yang boleh kita percayai dan terima ilmu mereka sesuai dengan negara kita.

Pendidikan Formal

Pada zaman ini, pendidikan secara formal merupakan salah satu kaedah pengukuran bahawa kita boleh mengiktiraf akan tahap keilmuan seseorang itu. Secara amnya mereka yang bergraduat dalam bidang keagamaan boleh kita gelar mereka sebagai “ustaz” mahupun “ustazah” kerana sudah terbukti dan teruji tahap keilmuan mereka oleh institusi-institusi tertentu.

Malangnya ketika ini seolah-olah jika petah sahaja bicara agama cukup untuk menjadi lesen bergelar ahli agama, tanpa mengambil kira dari mana ilmu itu di kecapi.

Kadang-kadang terfikir juga oleh saya, adakah mereka yang bergaduat dalam bidang bahasa Arab dan kesasterawanan semata-mata juga boleh di gelar ustaz? Adakah kelebihan memahami dan bertutur dalam bahasa Al-Quran merupakan satu bonus untuk dikalungkan dengan panggilan mulia ini.

Makna Ustaz/Ustazah

Secara definisi, bahasa ustaz dan ustazah merujuk kepada guru mahupun pakar dalam sesuatu bidang. Malah di universiti-universiti Timur Tengah, ustaz merujuk kepada profesor-profesor yang terkemuka dalam bidang masing-masing.

Saya tidak menafikan dalam dunia Arab, ustaz merupakan satu istilah umum yang tidak merujuk secara khusus pada mereka yang pandai dalam agama. Malah di Mesir ustaz juga merupakan kata nama panggilan untuk mereka yang tidak diketahui nama sebenarnya sama seperti “Love” atau “darling” yang digunakan di dunia barat.

Namun artikel ini merujuk secara khusus kepada penggunaan istilah ini di Malaysia yang mana pendefinasiannya merujuk secara khusus kepada ahli dalam bidang agama.

Ironinya secara kiasan, wajarkah seorang yang berkelulusan pengurusan perniagaan di gelar IR?

Secara peribadinya saya bukan menentang siapa-siapa dalam isu ini tetapi sekadar memberi penjelasan tentang suasana semasa yang seolah-olah tidak terkawal lagi penggunaan istilah tersebut yang membawa kepada masalah baru dalam negara kita.

Kenapa saya katakan begitu? Bayangkan secara analogi, jika kita sakit pastinya kita akan mencari seseorang yang bergelar doktor. Kita akan pergi ke doktor yang begitu popular berdasarkan anggapan bahawa pasti dia hebat.

Sampai sahaja ke klinik tersebut kita diberi nasihat, disebabkan kemanisan mulut beliau kita mempercayai setiap butir tutur katanya. Namun hakikatnya adakah betul diagnosis yang diberikan?

Itu yang menjadi titik persoalan sekarang. Sepatutnya kita mencari doktor yang pakar dengan sakit yang kita alami, bukannya sebarang orang yang bergelar doktor.

Nabi pernah bersabda apabila sesuatu perkara diserahkan kepada bukan ahli, tunggulah kemusnahan yang akan menimpa. Ini yang dikhuatiri akan berlaku sekarang.

Keperibadian Ustaz/Ustazah merupakan satu isu yang perlu juga disentuh di sini. Ada di antara mereka yang telahpun menjadi selebriti ataupun orang ternama yang sering mendapat perhatian masyarakat.

Saya pohon agar mereka yang dinobatkan sebagai ustaz dan ustazah ini menjaga tingkah laku mereka termasuk menjaga tutur kata.

Dr Ahmad Zaharuddin Sani Sabri merupakan bekas Honorary Fellow di Asian Institute University of Melbourne dan Adjunct di School of Philosophy, History and International Studies Monash University. Beliau merupakan penyelaras/pensyarah kanan di Universiti Utara Malaysia. Beliau boleh dihubungi menerusi email [email protected]

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain