suria

Dua Anggota Polis Bebas Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi di sini melepas dan membebaskan dua anggota polis daripada tuduhan rasuah selepas membenarkan rayuan mereka terhadap sabitan serta hukuman dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen, Mei tahun lepas.

Hakim Datuk Siti Mariah Ahmad membuat keputusan itu selepas mendapati Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf dari segi fakta dan undang-undang semasa mensabitkan Konstabel K. Vellu, 30, dan Lans Koperal K. Murali, 30, atas tuduhan rasuah yang didakwa dilakukan tujuh tahun lepas.

Hakim Siti Mariah dalam penghakimannya juga mendapati terdapat percanggahan antara pertuduhan dan keterangan yang diberi oleh saksi pendakwaan.

"Mahkamah mendapati adalah tidak selamat untuk mensabitkan kedua-dua tertuduh. Justeru mahkamah membenarkan rayuan mereka dan melepas serta membebaskan kedua-dua tertuduh daripada tuduhan," katanya.

Pada 4 Mei tahun lepas, Vellu dijatuhi hukuman penjara dua tahun dan denda RM25,000 selepas disabitkan bersalah terhadap dua pertuduhan rasuah.

Hakim Aslam Zainuddin juga memerintahkan anggota polis itu dihukum penjara 25 bulan sekiranya dia gagal membayar denda.

Vellu didakwa bersetuju untuk menerima rasuah sebanyak RM3,000 daripada seorang warga India, Mohamed Jallaluddin Syed Ibrahim di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, dekat sini, pada pukul 11.30 malam, 11 Januari 2005.

Dia juga didakwa secara rasuah menerima RM500 daripada Mohamed Jallaluddin di Restoran Maju Curry House, Petaling Jaya, pada pukul 9.50 malam, 12 Jan 2005.

Suapan itu didakwa sebagai dorongan untuk Vellu tidak mengambil tindakan terhadap Mohamed Jallaluddin yang bekerja sebagai guru sekolah memandu tanpa permit kerja yang sah.

Sementara Murali pula dihukum penjara dua tahun dan denda RM15,000 atau 15 bulan penjara selepas disabitkan bersalah bersubahat untuk bersetuju menerima suapan RM3,000 itu pada 11 Jan 2005.

Vellu dan Murali masing-masing diwakili peguam A.G. Kalidas dan Rajpal Singh sementara Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Nik Haslinie Nik Hashim hadir bagi pihak responden. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain