suria

DBKL Bakal Dakwa Aktivis 'Occupy Dataran'

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) akan mendakwa aktivis 'Occupy Dataran', Mohd Fahmi Reza Mohd Zain atas dua kesalahan iaitu berkumpul tanpa permit dan mendirikan khemah di Dataran Merdeka tanpa kebenaran.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Tan Sri Ahmad Fuad Ismail berkata kedua-dua kesalahan itu bertentangan dengan Undang-undang Kecil Kerajaan Tempatan (Dataran Merdeka) (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 1992 dan Seksyen 40 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974.

"Pihak DBKL sedang menyediakan kertas siasatan untuk diperakukan oleh timbalan pendakwaraya bagi tujuan didakwa di mahkamah.

"Kes Mohd Fahmi Reza akan dibuat oleh DBKL setelah mendapat sokongan dan keizinan daripada timbalan pendakwaraya," katanya pada sidang media di bangunan DBKL di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian bagi merujuk kepada status insiden tindakan DBKL menanggalkan khemah-khemah yang dipasang di Dataran Medeka sejak minggu lalu.

Dalam kejadian pukul 8 pagi Sabtu lalu, Mohd Fahmi Reza ditangkap sepasukan anggota DBKL kerana enggan mengikut arahan supaya mengosongkan Dataran Merdeka.

Bagaimanapun muncul seorang lelaki bernama Umar Mohamad Azmi yang bertindak agresif bertujuan menghalang tugas anggota penguat kuasa DBKL membawa Mohd Fahmi Reza ke Balai Polis Dang Wangi bagi membantu siasatan.

Umar akhirnya turut ditangkap dan disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Namun dia dilepaskan dengan jaminan polis sejurus selepas diambil keterangan.

Mengulas lanjut Ahmad Fuad menafikan pihaknya menahan kedua-dua aktivis terbabit seperti yang didakwa banyak pihak.

"Kami tidak menahan mereka. Penguat kuasa DBKL hanya mengiringi mereka ke balai polis untuk membuat laporan polis," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain