suria

BR1M: Permohonan Gagal Boleh Mohon Semula

KUALA LUMPUR: Pemohon yang gagal mendapatkan bantuan kewangan di bawah program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) diberi peluang untuk membuat permohonan semula, persidangan Dewan Negara diberitahu pada Isnin.

Tempoh rayuan BR1M dilanjutkan sehingga hujung bulan ini manakala tarikh sah laku baucar BR1M ditetapkan sehingga 15 Mei, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Dr Awang Adek Hussein.

Katanya sehingga 17 April, permohonan yang tidak berjaya adalah seramai 693,000 atau 14 peratus daripada keseluruhan permohonan.

"Antara alasan permohonan tidak berjaya adalah permohonan bertindih, maklumat pemohon, pasangan dan tanggungan tidak lengkap, pendapatan isirumah melebihi RM3,000 serta pemohon atau pasangan adalah termasuk dalam kategori pembayar cukai pendapatan," katanya semasa menjawab soalan Senator Lihan Jok.

Awang Adek berkata BR1M diberikan kepada semua yang layak tanpa mengira kaum, agama mahu pun latar belakang politik serta tidak wujud pilih kasih daripada segi pengagihan BR1M.

"Kerajaan telah mengenal pasti hampir 207,383 nama yang disenarai di bawah e-Kasih, isirumah yang menerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Orang Asli yang berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli yang masih belum memohon.

"Mereka ini akan disenaraikan sebagai penerima BR1M serta akan dipastikan tiada yang tercicir," katanya.

Awang Adek menjelaskan bahawa sehingga 17 April, program BR1M telah melibatkan peruntukan sebanyak RM2.1 bilion dan memanfaatkan 4.3 juta isi rumah atau 66 peratus daripada jumlah keseluruhan isi rumah negara.

"Syor untuk meneruskan BR1M pada masa akan datang akan dinilai oleh kerajaan dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara dan kesesuaian pada masa akan datang," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain