suria

Peguam Syarie Perlu Elak Kepentingan Peribadi

BANGI: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata unsur-unsur kepentingan peribadi tidak harus wujud dalam profesion sebagai peguam syarie kerana matlamat utama mereka sebagai peguam adalah untuk menegakkan keadilan berdasarkan hukum Syarak.

Beliau berkata antara aduan diterima yang dianggap berkepentingan peribadi ialah sikap acuh tidak acuh dalam mengendalikan kes dan tamak dalam mengambil kes sehingga tidak dapat dikendalikan mengikut tarikh yang ditetapkan mahkamah.

"Jadi unsur kepentingan peribadi seperti ini sepatutnya tidak sama sekali menjejaskan profesionalisme sebagai peguam syarie. Malah tindakan tidak bertanggungjawab itu perlu difikirkan kembali supaya akta (Profesion Guaman Syarie) yang bakal digubal ini dapat menghakis sikap itu," katanya.

Terdahulu beliau merasmikan Bengkel Draf Akta Profesion Guaman Syarie anjuran Persatuan Peguam Syarie Malaysia yang diadakan selama dua hari di Institut Latihan Islam Malaysia di sini, Sabtu.

Pada sidang akhbar kemudiannya Jamil Khir berkata penganjuran bengkel itu diharap akan membuahkan hasil untuk mewujudkan akta yang lebih komprehensif bagi membantu profesion ini setaraf dengan peguam di peringkat sivil di Malaysia.

"Ia memberi kebaikan kepada peguam sendiri supaya mereka ada garis panduan untuk diterangkan kepada masyarakat mengenai bidang tugas mereka termasuk caj yang dikenakan. Jadi tidak akan timbul soal tuduh menuduh oleh anak guam mengenai caj yang dikenakan oleh peguamnya," kata beliau.

Dalam perkembangan lain Jamil Khir berkata usaha untuk menentang habis-habisan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) akan diteruskan kepada semua lapisan masyarakat.

"Kita akan sekat segala ruang dan lubang untuk mereka ini tidak muncul. Ini ialah isu yang amat serius dalam masyarakat dan membimbangkan dan kerana itu beberapa pertubuhan bukan kerajaan berkumpul di Universiti Putra Malaysia, Serdang hari ini untuk menentang LGBT," katanya mengulas mengenai perhimpunan aman itu.

Beliau berharap struktur kekeluargaan di kalangan masyarakat Islam dan bukan Islam di negara ini juga tidak rosak akibat gejala LGBT yang diperjuangkan oleh pihak tertentu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain