suria

NGO Semakin Menyokong Transformasi Kerajaan - PM

GEORGE TOWN: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada Ahad berkata pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mewakili kaum India dan Cina kini menunjukkan sikap terbuka untuk menjalin hubungan dengan Barisan Nasional (BN).

Katanya sikap terbuka itu adalah kerana mereka mula menyokong dasar transformasi kerajaan yang memberi ruang kepada rakyat untuk memberi pandangan dan sumbangan.

"Saya boleh dapat gambaran (menerusi perjumpaan dengan NGO) akan apa yang penting bagi mereka, apa yang boleh dipertimbang kerajaan berdasarkan kepada peranan yang 'impactful' ataupun yang ada kesan oleh NGO berkenaan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri dua perjumpaan tertutup dengan NGO yang mewakili kaum India dan Cina anjuran Kelab Penyokong 1Malaysia di Universiti Sains Malaysia (USM) di sini Ahad.

Perdana Menteri berkata menerusi perjumpaan dengan NGO, mereka juga memberi pandangan tertentu untuk menambah baik dasar kerajaan.

"Menjadi hasrat saya untuk menghadiri pertemuan seumpama ini bagi mendapatkan pandangan dan cadangan untuk dipertimbangkan oleh kerajaan," kata beliau.

Menjawab soalan mengenai tahap sokongan rakyat terhadap BN sekarang, Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata BN akan berusaha sedaya upaya untuk meningkatkan sokongan rakyat dan beliau menghargai semangat baru yang ditonjolkan oleh rakyat.

Beliau berkata pada perjumpaan di Nibong Tebal di sebelah pagi, kira-kira 5,000 penyokong BN menunjukkan komitmen yang tinggi dalam mengembalikan sokongan rakyat di negeri ini kepada BN.

Najib berkata BN akan terus berkomunikasi dengan rakyat di Pulau Pinang bagi menjelaskan bahawa kejayaan negeri ini adalah hasil usaha yang dilakukan oleh kerajaan BN sebelum itu.

"Infrastruktur yang telah kita bina selama ini termasuk juga jumlah pelaburan ialah kerana 'reinvestment' yang dilakukan oleh firma-firma yang telah wujud di negeri ini kerana usaha yng dilakukan oleh kerajaan BN. Jadi kita akan bentangkan kepada rakyat apa yang telah kita lakukan dan rakyat boleh menilai," katanya.

Mengenai perkembangan senarai bakal calon BN untuk pilihan raya umum ke-13, Perdana Menteri berkata BN masih menerima senarai nama yang hendak dicadangkan oleh parti komponen masing-masing.

Katanya BN Pulau Pinang diberi masa untuk mengatur strategi baru dengan pelantikan Setiausaha Agung parti Gerakan Teng Chang Yeow sebagai Pengerusi B Nnegeri yang baharu. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain