suria

BN P.Pinang Tetap Komited Walaupun Keadaan Mencabar

NIBONG TEBAL: Walaupun Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang dalam keadaan yang amat mencabar tapi komitmen dan semangat pemimpin serta anggota parti sangat kuat ingin berkhidmat kepada rakyat negeri ini, kata bekas Pengerusi BN Pulau Pinang Tan Sri Dr Koh Tsu Koon.

Koh, yang juga Presiden Gerakan, berkata dengan adanya semangat itu, B NPulau Pinang sudah bersedia untuk satu komitmen, nafas dan strategi yang baru untuk bersama-sama berjuang bagi rakyat Pulau Pinang.

"Jawatankuasa Penyelaras dan Jawatankuasa Kerja BN yang dipimpin oleh Datuk Dr Teng Hock Nan dan rakan-rakannya bertungkus lumus bekerja dengan semangat yang tinggi demi rakyat Pulau Pinang.

"Inilah semangat yang kita mahu dan saya menyeru orang Pulau Pinang untuk bersama-sama BN," katanya semasa berucap pada Majlis Perjumpaan Jentera Pilihan Raya BN Pulau Pinang bersama Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, di sini, Ahad.

Lebih 5,000 orang menghadiri majlis berkenaan bagi mendengar amanat daripada Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN.

Pada majlis itu, Najib mengumumkan Setiausaha Agung Gerakan Teng Chang Yeow dilantik sebagai Pengerusi BN Pulau Pinang bagi mengantikan Koh.

Koh, yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri, berkata BN Pulau Pinang akan terus berjuang sehingga ke nafas terakhir seperti Pengerusi MIC Pulau Pinang mendiang Datuk P.K Subbaiyah yang meninggal dunia pada Rabu lepas.

"Mendiang sentiasa bertungkus lumus untuk BN dan sehingga ke nafas terakhir beliau berkerja untuk kita, semangat itu lah yang kita mahu dan terima kasih kepada mendiang atas usahanya," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain