suria

Balas Dendam Mungkin Motif Pembunuhan Setiausaha - Polis

JOHOR BAHARU: Balas dendam mungkin motif di sebalik pembunuhan ngeri seorang setiausaha yang ditemui mati dengan kesan kelaran di leher dan tikaman di bahagian dada di rumahnya di Bandar Baru Permas Jaya Sabtu, menurut polis.

Timbalan Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, Supt Abdul Samad Salleh mengesahkan mangsa Kum Huey Lan, 46, pernah membuat laporan polis mengenai gangguan yang dilakukan oleh beberapa lelaki.

Beliau berkata polis kini menyiasat kes itu daripada pelbagai termasuk sama ada laporan itu mempunyai kaitan dengan pembunuhan itu.

"Masih terlalu awal untuk kita katakan sama ada mangsa mempunyai masalah dengan sesiapa atau meminjam duit dengan Ah Long," katanya kepada pemberita pada program Earth Day Ride di Taman Seri Austin di sini Ahad.

Polis percaya balas dendam adalah satu daripada motif pembunuhan kerana tiada petunjuk yang suspek memecah masuk rumah mangsa dan barangan kepunyaan mangsa juga tidak hilang, katanya.

Abdul Samad meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi polis di talian 07-2212999 atau mana-mana balai polis untuk membantu siasatan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain